8.10.2010

Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan ISMA Wellington


WELLINGTON, 7 Ogos- Satu majlis pelancaran Ihya’ Ramadhan telah berlangsung di Everton Hall, Wellington sempena menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak tidak lama lagi. Tujuan diadakan majlis pelancaran ini ialah bagi menimbulkan kesedaran dan penghayatan di kalangan pelajar Muslim Malaysia terhadap kelebihan bulan Ramadhan yang mulia ini berbanding bulan-bulan lain yang boleh menjadi titik tolak perubahan yang positif individu Muslim pada masa akan datang. Majlis ini yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) New Zealand cawangan Wellington dengan kerjasama Malaysian Student Departmen (MSD), Wellington Malaysian Student Organization (WMSO), Malaysian Wellington Postgraduate Society (MWPGS) serta Kelab UMNO Wellington telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr Wan Rafaei bin Wan Abdul Rahman, Chair of Malay Studies di Victoria University of Wellington. Majlis yang berlangsung dari pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu telah dihadiri seramai 70 orang pelajar Malaysia.

Majlis dimulakan dengan bacaan kitab suci Al-Quran oleh saudara Mohd Aizat dan seterusnya ucapan oleh Pengarah Program Ihya’ Ramadhan (PYI), Wellington, Sarah Shaina Abdul Rahman. Dalam ucapan beliau, ada diterangkan mengenai program Ihya’ Ramadhan yang membawa maksud “menghidupkan Ramadhan” yang akan berlangsung sepanjang bulan Ramadhan dengan objektifnya untuk menggalakkan warga Islam di Wellington supaya merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan secara konsisten dan berdisiplin. Beliau turut menyentuh beberapa kelebihan bulan Ramadhan seperti ganjaran pahala digandakan, pintu syurga dibuka , terjadinya peristiwa bersejarah Nuzul Quran (penurunan Al-Quran), perang Badar serta terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu Lailatul Qadr.

Majlis diteruskan dengan ucapan serta perasmian daripada Prof. Dato’ Dr Wan Rafaei bin Wan Abdul Rahman. Dalam ucap tamanya beliau turut menasihati para pelajar supaya mengekalkan prestasi pelajaran walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga kehormatan agama Islam terutamanya mengenai pengalaman berpuasa di luar negara, di mana beliau menggalakkan kita untuk menjelaskan kepada bukan Islam mengenai fadilat ibadah puasa. Beliau yang menyokong aktiviti sebegini diadakan turut mencadangkan agar program seperti ini turut dihadiri oleh bukan Islam bagi mendedahkan mereka mengenai agama Islam.

Setelah majlis selamat dirasmikan, Pengarah PYI dengan sukacitanya menyerahkan cenderamata tanda terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr Wan Rafaei serta “care-package” sebagai tanda simbolik penyerahan buku amal, tabung ramadhan serta bulletin Ramadhan. Hadirin turut diedarkan buku amal, tabung Ramadhan, bulletin serta poster Ramadhan. Dengan tema, “Menambah Amal, Mengejar Redha”, pihak penganjur berharap semua Muslimin dan Muslimat dapat mempertingkatkan amalan semaksimum mungkin untuk mencapai keredhaan Allah. Tujuan diedarkan Buku Amal Ramadhan yang berupa “checklist” adalah bagi memudahkan muslimin/at sekalian untuk melihat prestasi serta perkembangan amalan mereka seharian. Selain itu, penganjur juga melancarkan Tabung Ramadhan melalui Kempen Satu Hari NZD 1, Satu Tabung Satu Rumah bertujuan untuk menerapkan budaya serta melatih individu Muslim untuk bersedekah dan infak (membelanjakan harta ke jalan Allah) yang diharapkan dapat berkekalan selama-lamanya.

Di samping itu, majlis turut diserikan dengan tayangan video Program Ihya’ Ramadhan serta persembahan nasyid daripada wakil UMNO Wellington dan WMSO. Sebelum majlis diakhiri, diadakan kuiz yang berkisar mengenai ibadah puasa serta kelebihan Ramadhan. Majlis berakhir dengan makan tengah hari yang ditaja oleh Malaysian Student Department(MSD).

Disediakan oleh: Ernie Syahida Mohd Kamal
Biro Media ISMA New Zealand (Wellington)

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com