Wellington, 21 Ogos-“Berganding Bahu Mengejar Impian yang Satu”, begitulah tema perkhemahan musim bunga Wellington 2010 yang telah berjaya diadakan pada 21-22 Ogos 2010 di Camp Wainui, Wainuimata. Dengan kehadiran lebih kurang lima puluh orang pemuda pemudi yang bersemangat waja, kem ini telah berjaya mengajak para peserta untuk menyingkap sirah Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah. Selain itu, kem ini dianjurkan bagi memupuk disiplin yang tinggi dan membina ketahanan diri dan tubuh badan yang sihat di kalangan peserta, bertepatan dengan 10 ciri individu muslim yang baik.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kem ialah taaruf, tramping (kembara hutan), pengisian tentang Perang Badar, Islam Yang Syumul serta tazkirah mengenai Zikir, Quran Mendidik Umat dan Rasul sebagai Contoh Terbaik, iftaar dan sahur jamaie. Terdapat juga aktiviti selingan seperti hafazan ayat al-Quran dan hadis pilihan sepanjang aktiviti tramping.
Kem yang berlangsung selama sehari semalam ini telah menyaksikan kejayaan para peserta bekerjasama menempuh cabaran seperti meredah sungai, memanjat bukit sepanjang kembara hutan dan sekaligus mencapai objektif-objektif yang telah digariskan.
Semoga segala pengalaman yang diperolehi daripada kem ini dapat dimanfaatkan dalam usaha berterusan menjadi dan membina sebuah generasi harapan.
Disediakan oleh:Biro Media ISMA NZ -Wellington
0 comments:
Post a Comment