Aku kejutkan rakan serumahku untuk bersahur. Kami sama-sama menjamah beberapa biji tamar dan lauk berbuka semalam yang masih berbaki. Aku basahkan tekak dengan secawan susu. Sesudah bersahur, aku menggosok gigi, berwudhuk dan bersiap-siap untuk solat Subuh. Aku bertilawah dan bertadabbur ayat-ayat al-Quran sampai masuk waktu Subuh. Kami menunaikan solat sunat rawatib dan kemudian aku mengimamkan solat Subuh berjemaah. Selesai solat, kami duduk membaca zikir ma’thurat dan seterusnya bertadarus ayat-ayat al-Quran.
07:00:00
Kelas pertama hari ini pada pukul 9 pagi. Aku guna masa yang ada dengan membaca artikel untuk tutorial. Aku kena sentiasa ingat untuk ikhlaskan niatku untuk menimba ilmu kerana Allah. Aku bersiap-siap dengan mengenakan baju yang bersih dan kemas dan memakai wangian secara bersederhana. [Pesanan kepada kawan-kawan perempuanku, pastikan kalian double-check pakaian sebelum keluar rumah. Pastikanlah pakaian itu menutup aurat, tidak menampakkan bentuk tubuh dan sebagainya. Marilah kita sama-sama memelihara diri dari dosa]. Aku mencapai assignment, MP3 dan juga tafsir Quran untuk dibawa ke uni. Sambil berjalan kaki ke uni, aku dengar MP3 ayat hafazan minggu ini, surah al-Infitar. Dah lama aku bertangguh nak habiskan hafazan juzu’ ‘amma ni. Ramadhan kali ni peluang yang baik untuk aku terus menghafaz ayat-ayat Quran. Aku sampai di uni sepuluh minit sebelum pukul 9. Alhamdulillah, harapnya berterusan. Aku nak jadi individu Muslim yang sangat menepati masa, insyaAllah.
09:00:00
Lecture pun bermula. Aku berazam untuk pay attention kepada lecture ni. Ilmu ni satu nikmat dan amanah. Ilmu ni bukan untuk aku sahaja, tapi untuk aku amalkan dan kongsikan dengan orang lain. Jadi tak boleh main-main. Kali ni bila lecturer tu tanya soalan, aku cepat-cepat angkat tangan untuk
11:00:00
Lecture tamat. Kebiasaannya aku duduk bersembang dengan kawan-kawan atau melayari internet di computer lab. Tapi aku tahu kalau aku duduk bersembang tanpa tujuan, ada tendency untuk aku bercakap perihal orang lain dan secara tak langsung mengumpat. Jadi, kali ini aku memilih untuk ke surau dan tunaikan solat sunat Dhuha, kemudian bertilawah al-Quran.
12:30:00
Masuk sahaja waktu Zuhur, aku menunaikan solat sunat rawatib dan solat Zuhur berjemaah. Selesai bersolat, aku tidur sebentar di surau. Tidur ni aku niatkan untuk merehatkan diri sebelum meneruskan tutorial pada petang ini dan beribadat pada malam hari nanti.
16:00:00
Tamat sudah kelas-kelasku pada hari ini. Aku bergegas pulang ke rumah untuk solat. Sambil menapakkan kaki pulang ke rumah, aku berzikir ma’thurat. Tiba sahaja di rumah, aku bersolat sunat rawatib dan solat Asar. Kemudian aku ke dapur kerana hari ini giliran aku memasak. Aku berniat untuk menyediakan juadah iftar untuk jiran kami juga. Sambil memasak, aku banyakkan berdoa lebih-lebih lagi ketika menghampiri waktu berbuka.
17:45:00
Azan Maghrib berkumandang. Kami menyegerakan berbuka dengan tamar dan susu. Kami solat Maghrib berjemaah dan solat sunat rawatib. Kemudian kami makan juadah iftar bersama. Aku berhenti makan sebelum kenyang dan bersiap-siap untuk ke surau uni.
18:45:00
Tiba di surau uni, aku duduk sejenak dan beristighfar 70 kali sambil memuhasabah puasa dan amal-amalku hari ini sehingga azan dilaungkan. Aku menunaikan solat sunat rawatib dan kemudian solat Isyak berjemaah. Kemudian diteruskan dengan solat terawih 8 rakaat berjemaah. Malam ini giliran aku menjadi imam kedua untuk solat terawih. Alhamdulillah aku dapat membacakan ayat hafazan dengan lancar, semoga ayat-ayat suci ini terus melekat dalam ingatanku. Selesai solat sunat witir, kawanku bertugas menyampaikan tazkirah atau peringatan. Tajuk tazkirah malam ini ialah al-Quran sebagai pegangan hidup. Alhamdulillah, aku sangat suka dengan tazkirah tersebut. Selesai tazkirah, aku duduk dalam kumpulan kecil bersama kawan-kawanku untuk bertadarus al-Quran. Target kami ialah untuk habiskan satu juzu’ setiap malam.
20:30:00
Aku pulang ke rumah dan menyiapkan assignment. Sebelum tidur, selalunya aku akan membaca berita-berita terutama sekali berita dunia Islam. Aku nak jadi seorang Muslim yang peduli umat dan umat yang bertindak. Selain itu, aku juga akan menyelak buku-buku ilmiah seperti buku hadis 40 ataupun melayari blog-blog tulisan kenalanku atau murabbi (guru) yang aku kenali.
22:30:00
Sebelum melelapkan mata, aku berniat untuk berpuasa kerana Allah keesokan harinya dan aku juga bermuhasabah amalanku hari ini dengan azam untuk perbaiki amalku esok supaya lebih baik dari hari ini.
04:30:00
Jam loceng berbunyi. Alhamdulillah, Allah masih bangunkan aku untuk berqiamullail. Aku bangun dan berwudhuk lalu menunaikan solat-solat sunat qiam. Akhir satu pertiga malam adalah waktu paling afdhal untuk beribadat. Waktu ini aku rasakan Allah sangat dekat denganku dan jiwaku sebak. Aku bersungguh-sungguh memohon kepada Allah agar diampunkan segala dosa-dosaku yang telah lalu. Terimalah taubat aku ya Allah. Terimalah amalanku dan redhalah Kau akan aku ya Allah. Aku memohon rahmat dariMu kerana itulah yang dapat menyelamatkan aku di akhirat kelak. Ya Allah semoga Ramadhan kali ini dapat mendidik aku terus menjadi hambaMu yang sentiasa mengejar redhaMu. Semoga Ramadhankali ini lebih baik dari yang sebelumnya, insyaAllah.
***
Inilah Ramadhanku. Bagaimanakah Ramadhan kalian?
0 comments:
Post a Comment