8.27.2010

Belajar dari Perang Badar


“Adik, tolong amikkan handphone along kat tingkat atas boleh? Tangan along kotor buat kuih ni. Hehe”, lembut Safiyya meminta bantuan dari adik kesayangannya, Hamzah, yang terbaring di hadapan televisyen.

“Ala along ni, sikit-sikit suruh adik, sikit-sikit suruh adik. Adik puasa laa. Penat tau”, ngomel Hamzah dengan muncung sedepa, lambat-lambat dia bangun dari pembaringan

“Ish tak boleh jadi ni budak ni”, getus Safiyya dalam hati.

“Hamzah, mana boleh macam ni. Mana boleh kita jadikan puasa sebagai alasan untuk bermalas-malasan atau untuk menjadi lemah.

Cuba Hamzah fikir, kalau semua orang Islam jadi lemah dan tak bermaya pada bulan puasa, apa pula kata orang bukan Islam, mestilah mereka akan kata Islam ni agama yang menganiaya penganutnya kan? Bukan kah itu sudah dikira menimbulkan fitnah kepada agama sendiri?” sengaja Safiyya mencetus soalan provokatif. Bukan dia tidak tahu adiknya sangat bersemangat membangkang dan bersuara bila bab-bab agama diperkecilkan. Wajah Hamzah ditenungnya, jelas kelihatan adiknya rasa bersalah.

“Erm, sorry Along. Tapi memang adik penat sungguh. Pagi tadi adik ada latihan bola sepak di sekolah”, Safiyya hanya tersengih mendengar alasan adiknya.

All the same Hamzah, itu tak boleh dijadikan alasan. Hamzah tahu tak kebanyakan perang umat Islam yang terdahulu dalam menyebarkan dan mempertahankan Islam berlaku pada bulan puasa? Bahkan, perang pertama umat Islam melawan kafir- Perang Badar itu, terjadi pada 17 Ramadhan”

“Oh sungguh? Menang ke? Ceritalah sikit Along”, tegak duduk Hamzah. Safiyya tersenyum melihatkan dia sudah berjaya menarik minat adiknya. Kuih yang sedang diuli dibawa ke depan.

“ Perang Badar ialah perang dimana umat Islam berada di pihak yang berada dalam keadaan serba kekurangan. Bayangkanlah, hanya ada lebih kurang 313 tentera umat Islam untuk melawan 1000 orang kafir Mekah. Betapa Rasulullah s.a.w risaunya mereka akan kalah dalam perang ini sehingga Baginda bersungguh sungguh memanjatkan doa: “Ya Allah, sempurnakanlah kepadaku segala apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, berikanlah apa-apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika Engkau membinasakan pasukan Islam, tentulah Engkau tidak akan lagi disembah di muka bumi ini.”

“Dari segi kelengkapan juga, umat Islam pada wakti itu sangat daif. Mereka cuma ada 2 ekor kuda milik Zubair al-Awwam dan Miqdad bin Aswad, dan 70 ekor unta, yang dinaiki secara bergilir-gilir, berbanding 100 ekor kuda dan 600 perisai milik orang kafir.

Tapi ternyata umat Islam pada ketika itu mempunyai kelebihan dari segi kekuatan iman dan kesungguhan untuk mati syahid yang menyebabkan mereka mendapat dukungan langit pada hari itu”

“Orang Islam ada pasang strategi tak Along?” tanye Hamzah penuh minat.

“Eh, mestilah, perang apa-apa pun kena ada strategi. Walaupun kita harap pada bantuan Allah, usaha tu perlu ada juga. Kan Allah takkan ubah nasib sesuatu kaum tu sehingga dia berusaha mengubah nasibnya sendiri? Apabila tahu yang perperangan dengan orang kafir quraisy tak dapat dielakkan lagi, Rasululullah telah menghantar 3 orang spy iaitu Ali b Abi Talib, as- Zubair al- Awwam dan Saad b Abi Waqqash untuk cari information pasal musuh. Dengan hanya berpandukan maklumat berapa bilangan unta yang disembelih setiap hari, Rasulullah berjaya buat anggaran berapa bilangan kafir Quraisy yang akan menyertai perang itu.

“Satu lagi strategi adalah apabila Rasulullah bersetuju dengan cadangan sahabatnya, Khabab b. Al-Mundzir untuk membuat markas di tempat air yang paling dekat dengan musuh, ambil air dan isikan ke dalam kolam orang Islam hingga penuh, kemudian tutup sumber-sumber air tu. Dengan itu, orang Islam dapat berperang dalam keadaan mempunyai bekalan air yang cukup sedangkan musuh tak ada air minum”

“Ohh, gitu. Tadi Along cakap mereka dapat dukungan langit. Apa maksud Along?”

“Dalam perperangan itu, ada satu ketika dimana Rasulullah tiba-tiba tertidur sebentar dan apabila terjaga Rasulullah berkata kepada Abu Bakar “Wahai Abu Bakar, bergembiralah. Pertolongan Allah SWT telah datang. Itulah Jibril dibawah hamburan debu”. Rasulullah lepas tu keluar dari khemahnya dengan memakai baju besi sambil berkata “Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka mundur ke belakang”. Ini sebenarnya ayat dari surah al-Qamar yang Allah wahyukan.

“Para sahabat juga bagai orang yang lapar darah apabila Rasulullah menaikkan semangat mereka dengan berkata ‘Demi Allah SWT yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, setiap orang yang berperang melawan mereka pada hari ini kemudian mati dalam keadaan tabah mengharap keredaan Allah taala dan dalam keadaan maju terus pantang mundur, pasti Allah masukkan ke dalam syurga’. Seorang sahabat, Auf bin al-Harits bertanya ‘Wahai Rasulullah, apa yang membuat Allah SWT suka kepada hambaNya?’ Baginda menjawab ‘Dia terjun di tengah-tengah musuh dalam keadaan terbuka dan mencabut baju besi yang ada pada dirinya’. Auf b al Harits pun apa lagi, terus cabut baju besi dia, ambil pedang dan terus perangi musuh sampai syahid,” Mata Hamzah berkaca kaca, terharu dengan semangat jihad para sahabat.

“Kaum Muslimin juga turut dibantu para malaikat. Banyak riwayat yang menceritakan dimana banyak kepala yang terjatuh dan tangan terpotong, tapi tak diketahui siapa yang memenggal dan memotong. Ada seorang tawanan, Abbas b Abdul Muthalib yang menceritakan yang dia ditawan oleh seorang yang tidak memakai pelindung diri, paling tampan wajahnya dan menaiki kuda hitam putih. Bila seorang Ansar nak mengaku dia yang menawannya, Rasulullah menjawab “Diamlah kamu, Allah swt telah membantumu dengan malaikat yang mulia”.

“Umat Islam pun akhirnya menang besar dalam perperangan itu dengan hanya 14 orang syahid berbanding 70 orang kaum musyrikin terbunuh dan 70 orang ditawan. Bermula dari kemenangan itulah, umat Islam yang dulu dipandang hina oleh orang kafir quraisy bertukar menjadi satu umat yang dipandang unggul, dan Islam terus berkembang pesat selepas itu”, Safiyya menghabiskan cerita sambil tangannya kembali menguli kuih.

“Oh lagi satu, kalau Adik nak tau, sahabat Rasulullah yang bernama Hamzah b Abdul Mutalib la orang yang pertama sekali membunuh orang kafir di dalam perang Badar. Ha, hebatkan? Adik taknak jadi sehebat itu ke? Nama dah sama dah,” Safiyya bertanya selamba sambil berlalu ke dapur, meninggalkan Hamzah dengan hati yang sudah dibakar semangat perang Badar, memasang azam untuk tidak mahu menjadi lemah lagi.

Sumber rujukan:

Belajar dari Perang Badar: Strategi Menghadapi Kemenangan, karya Hepi Andi Bastoni, 2010.

8.25.2010

Kembara Spring Wellington memperingati badar,menambah kekuatan fizikal


Wellington, 21 Ogos-“Berganding Bahu Mengejar Impian yang Satu”, begitulah tema perkhemahan musim bunga Wellington 2010 yang telah berjaya diadakan pada 21-22 Ogos 2010 di Camp Wainui, Wainuimata. Dengan kehadiran lebih kurang lima puluh orang pemuda pemudi yang bersemangat waja, kem ini telah berjaya mengajak para peserta untuk menyingkap sirah Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah. Selain itu, kem ini dianjurkan bagi memupuk disiplin yang tinggi dan membina ketahanan diri dan tubuh badan yang sihat di kalangan peserta, bertepatan dengan 10 ciri individu muslim yang baik.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kem ialah taaruf, tramping (kembara hutan), pengisian tentang Perang Badar, Islam Yang Syumul serta tazkirah mengenai Zikir, Quran Mendidik Umat dan Rasul sebagai Contoh Terbaik, iftaar dan sahur jamaie. Terdapat juga aktiviti selingan seperti hafazan ayat al-Quran dan hadis pilihan sepanjang aktiviti tramping.

Kem yang berlangsung selama sehari semalam ini telah menyaksikan kejayaan para peserta bekerjasama menempuh cabaran seperti meredah sungai, memanjat bukit sepanjang kembara hutan dan sekaligus mencapai objektif-objektif yang telah digariskan.

Semoga segala pengalaman yang diperolehi daripada kem ini dapat dimanfaatkan dalam usaha berterusan menjadi dan membina sebuah generasi harapan.

Disediakan oleh:
Biro Media ISMA NZ -Wellington

8.24.2010

Buletin Ramadhan (Volume 3)

Kenapa berpuasa ye?



Sekadar ingin berkongsi cerita,.. kisah yg pernah berlaku pada diri suatu ketika dahulu..

Satu hari di dalam kelas sementara menanti sifu masuk mengajar.....

Sardina : Eh Sabrina, kenape kau berpuasa ek?

Sabrina : Asal kau tanye camtue? Pelik btul

Sardina : Aku just wonder aje,..

Sabrina : Mestila aku puasa sebab... aku nk kuruskan badan,.. Aim aku is to lose 10 kg this month. Even though it sounds impossible, tapi aku yakin kalo aku ikut btul2 diet plan aku nie,..insyaAllah akan berjaya,..

Sardina : diet plan? Ape tue?

Sabrina : Ko nie,. Sume nak tahu,..Aku plan sahur aku minum susu dengan makan buah kurma. Pastu bukak puasa aku makan kurma and sedikit nasi, control nafsu jangan makan banyak2,.. macam dalam lagu tashiru,..“Cara seorang Muslim makan,.. 1/3 dari perutmu.. Isilah dengan makanan,.. lalala ”..

Sardina : Wow,.. tapi kan, ko rase puasa ko nie akan dapat reward ke tak ek? Papa aku ckp kalo reason aku puasa tue betul nanti aku akan dpt reward.

Sabrina : Aku dapat aje reward..Penat aku tawar-menawar dengan daddy aku tau. Daddy aku ckp sehari dapat 2 ringgit,.. kalo aku pause 30 hari,.. aku dapat 60 ringgit,.. campur duit raye,.. (rancak mengira-gira) perrghh ,.. aku nnt dpt 100 ringgit drpd daddy aku,.. hohoho,.. aku kaya..aku kaya.. Ko pulak dapat brape?

Sardina : Aku tak dapat brape2 pun,.. Papa cakap reward daripada Allah lagi hebat tapi orang yang special saje yang boleh dapat reward tue,..

Sabrina : Siapa?

Sardina : Papa cakap sape yang ikhlas berpuasa sebab Allah dan bukan sebab lain. Pastu kena ikut syariat yang Allah dah tetapkan. Baru dapat reward and reward Allah nie hebat tau. Reward Allah nie kekal even sampai lepas kite sume dah mati. Duit mane ade kekal,.. Kalo tiap2 hari kite beli nasi bungkus kat kedai makcik Leha, tak sampai sebulan dah habis dah,.. Tue belum lagi beli cendol pakcik Mawi,.. kejap je dah habis 100 ringgit..

Sabrina : Hebat tu, aku pun nak dapat reward yang kekal tue,.. jadi nye aku kena btul’n niat aku berpuasa, betul x?

Sardina : Pandai betul kawan aku sorg ni haa.. Ko x yah risau about losing weight,..

Sabrina : Ohh, macam tu.. Skang baru aku sedar yang kite kena berpuasa sebab Allah.. Thanks Sardina for the reminder. Kau sahabat terbaik dunia dan akhirat. Skang nie aku nk betulkan niat aku, puasa sebab Allah,.. And one of the side effects of fasting is losing weight. Hehehe.. So makne nye aku still bole hilang berat badan sambil beribadat. Yeay!!

Sardina : Apa2 la ko ni,.. Side effect la plak,.. Bunyi macam doctor,.. hehe.. Eh2,.. aku bole dengar bunyi kasut tumit sifu gerak ke kelas kite,..

Akhirnya penantian sampai ke penghujung, sifu masuk ke kelas...

Moral of the story,..

Jadi rakan2, jom kita kaji balik niat kita berpuasa.Tepuk dada, tanya hati,.. Sekiranya sebab kita berpuasa adalah selain Allah swt, cepat2 la kite ambil tindakan untuk mengubah niat kita. Selagi masih bulan Ramadhan, selagi tu kita ade masa untuk membaiki niat kita. Jangan sekali2 melepaskan Ramadhan pergi dengan sia2. Nanti menyesal tak sudah.

“ Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja, Tuhan pimpinlah daku yang lemah mengharungi segalanya dengan sabar, Ku memohon pada Tuhan diberikan kekuatan, Ku merayu pada Tuhan diterima amalan ”

Hasil nukilan,

Puteri Dhiya Insyirah

Wellington

8.19.2010

Buletin Ramadan 1431H (volume 2)


8.17.2010

Hari-hariku di bulan Ramadhan


05:30:00

Aku kejutkan rakan serumahku untuk bersahur. Kami sama-sama menjamah beberapa biji tamar dan lauk berbuka semalam yang masih berbaki. Aku basahkan tekak dengan secawan susu. Sesudah bersahur, aku menggosok gigi, berwudhuk dan bersiap-siap untuk solat Subuh. Aku bertilawah dan bertadabbur ayat-ayat al-Quran sampai masuk waktu Subuh. Kami menunaikan solat sunat rawatib dan kemudian aku mengimamkan solat Subuh berjemaah. Selesai solat, kami duduk membaca zikir ma’thurat dan seterusnya bertadarus ayat-ayat al-Quran.

07:00:00

Kelas pertama hari ini pada pukul 9 pagi. Aku guna masa yang ada dengan membaca artikel untuk tutorial. Aku kena sentiasa ingat untuk ikhlaskan niatku untuk menimba ilmu kerana Allah. Aku bersiap-siap dengan mengenakan baju yang bersih dan kemas dan memakai wangian secara bersederhana. [Pesanan kepada kawan-kawan perempuanku, pastikan kalian double-check pakaian sebelum keluar rumah. Pastikanlah pakaian itu menutup aurat, tidak menampakkan bentuk tubuh dan sebagainya. Marilah kita sama-sama memelihara diri dari dosa]. Aku mencapai assignment, MP3 dan juga tafsir Quran untuk dibawa ke uni. Sambil berjalan kaki ke uni, aku dengar MP3 ayat hafazan minggu ini, surah al-Infitar. Dah lama aku bertangguh nak habiskan hafazan juzu’ ‘amma ni. Ramadhan kali ni peluang yang baik untuk aku terus menghafaz ayat-ayat Quran. Aku sampai di uni sepuluh minit sebelum pukul 9. Alhamdulillah, harapnya berterusan. Aku nak jadi individu Muslim yang sangat menepati masa, insyaAllah.

09:00:00

Lecture pun bermula. Aku berazam untuk pay attention kepada lecture ni. Ilmu ni satu nikmat dan amanah. Ilmu ni bukan untuk aku sahaja, tapi untuk aku amalkan dan kongsikan dengan orang lain. Jadi tak boleh main-main. Kali ni bila lecturer tu tanya soalan, aku cepat-cepat angkat tangan untuk cuba jawab soalan.

11:00:00

Lecture tamat. Kebiasaannya aku duduk bersembang dengan kawan-kawan atau melayari internet di computer lab. Tapi aku tahu kalau aku duduk bersembang tanpa tujuan, ada tendency untuk aku bercakap perihal orang lain dan secara tak langsung mengumpat. Jadi, kali ini aku memilih untuk ke surau dan tunaikan solat sunat Dhuha, kemudian bertilawah al-Quran.

12:30:00

Masuk sahaja waktu Zuhur, aku menunaikan solat sunat rawatib dan solat Zuhur berjemaah. Selesai bersolat, aku tidur sebentar di surau. Tidur ni aku niatkan untuk merehatkan diri sebelum meneruskan tutorial pada petang ini dan beribadat pada malam hari nanti.

16:00:00

Tamat sudah kelas-kelasku pada hari ini. Aku bergegas pulang ke rumah untuk solat. Sambil menapakkan kaki pulang ke rumah, aku berzikir ma’thurat. Tiba sahaja di rumah, aku bersolat sunat rawatib dan solat Asar. Kemudian aku ke dapur kerana hari ini giliran aku memasak. Aku berniat untuk menyediakan juadah iftar untuk jiran kami juga. Sambil memasak, aku banyakkan berdoa lebih-lebih lagi ketika menghampiri waktu berbuka.

17:45:00

Azan Maghrib berkumandang. Kami menyegerakan berbuka dengan tamar dan susu. Kami solat Maghrib berjemaah dan solat sunat rawatib. Kemudian kami makan juadah iftar bersama. Aku berhenti makan sebelum kenyang dan bersiap-siap untuk ke surau uni.

18:45:00

Tiba di surau uni, aku duduk sejenak dan beristighfar 70 kali sambil memuhasabah puasa dan amal-amalku hari ini sehingga azan dilaungkan. Aku menunaikan solat sunat rawatib dan kemudian solat Isyak berjemaah. Kemudian diteruskan dengan solat terawih 8 rakaat berjemaah. Malam ini giliran aku menjadi imam kedua untuk solat terawih. Alhamdulillah aku dapat membacakan ayat hafazan dengan lancar, semoga ayat-ayat suci ini terus melekat dalam ingatanku. Selesai solat sunat witir, kawanku bertugas menyampaikan tazkirah atau peringatan. Tajuk tazkirah malam ini ialah al-Quran sebagai pegangan hidup. Alhamdulillah, aku sangat suka dengan tazkirah tersebut. Selesai tazkirah, aku duduk dalam kumpulan kecil bersama kawan-kawanku untuk bertadarus al-Quran. Target kami ialah untuk habiskan satu juzu’ setiap malam.

20:30:00

Aku pulang ke rumah dan menyiapkan assignment. Sebelum tidur, selalunya aku akan membaca berita-berita terutama sekali berita dunia Islam. Aku nak jadi seorang Muslim yang peduli umat dan umat yang bertindak. Selain itu, aku juga akan menyelak buku-buku ilmiah seperti buku hadis 40 ataupun melayari blog-blog tulisan kenalanku atau murabbi (guru) yang aku kenali.

22:30:00

Sebelum melelapkan mata, aku berniat untuk berpuasa kerana Allah keesokan harinya dan aku juga bermuhasabah amalanku hari ini dengan azam untuk perbaiki amalku esok supaya lebih baik dari hari ini.

04:30:00

Jam loceng berbunyi. Alhamdulillah, Allah masih bangunkan aku untuk berqiamullail. Aku bangun dan berwudhuk lalu menunaikan solat-solat sunat qiam. Akhir satu pertiga malam adalah waktu paling afdhal untuk beribadat. Waktu ini aku rasakan Allah sangat dekat denganku dan jiwaku sebak. Aku bersungguh-sungguh memohon kepada Allah agar diampunkan segala dosa-dosaku yang telah lalu. Terimalah taubat aku ya Allah. Terimalah amalanku dan redhalah Kau akan aku ya Allah. Aku memohon rahmat dariMu kerana itulah yang dapat menyelamatkan aku di akhirat kelak. Ya Allah semoga Ramadhan kali ini dapat mendidik aku terus menjadi hambaMu yang sentiasa mengejar redhaMu. Semoga Ramadhankali ini lebih baik dari yang sebelumnya, insyaAllah.

***

Inilah Ramadhanku. Bagaimanakah Ramadhan kalian?


8.15.2010

Tabung Ramadhan 1431H



Tahun 2010 telah menyaksikan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam hari ini. Pada bulan Julai 2010, dunia telah menyaksikan kekejaman tentera Israel yang menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza. Sebelum sempat reda lagi isu Freedom Flotilla, umat Islam seantero dunia dikejutkan pula dengan berita banjir di Lembah Swat, Pakistan yang sehingga hari ini telah mengorbankan 1500 nyawa dan melibatkan lebih kurang 14 juta penduduk di negara berkenaan.

Segala usaha meringankan beban saudara-saudara semuslim merupakan suatu tuntutan di dalam agama Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Barang siapa melepaskan salah satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahan hari kiamat darinya. Barang siapa memudahkan org yg dilanda kesulitan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat” (HR Muslim)



Atas kesedaran ini, Ikatan Muslimin Malaysia New Zealand (ISMA-NZ) dengan kerjasama Aman Palestin Bhd dan Pakiwi Friendship Association New Zealand melancarkan projek “PROJEK TABUNG RAMADHAN 1431 H” yang bertujuan untuk mengumpul dana yang akan disalurkan kepada Pakistani Floods Relief Aid anjuran Pakiwi Friendship Association New Zealand (http://paknz.multiply.com) dan Projek Ramadhan di Palestin 2010 anjuran Aman Palestin Bhd (http://www.amanpalestin.net). Projek Ramadhan ini juga merupakan usahasama antara jaringan ISMA Luar Negara dan turut dilancarkan di Eropah, Australia, India, Korea, Mesir dan Jordan.

Segala sumbangan yang dikumpul akan diserahkan kepada pihak yang berkenaan pada 1 Syawal 1431H. Untuk menderma, sila pindahkan bayaran kepada;

Account Name: ISMA-NZ Appeal
Account Number: 02-0727-0100651- 83
Bank: BNZ
Reference: 4Palestine/4Pakistan*

*Pastikan anda memilih tabung yang betul untuk menderma. 4Palestine untuk tabung Palestin dan 4Pakistan untuk tabung Pakistan.

Selain daripada sumbangan di atas talian, wakil-wakil ISMA-NZ di seluruh New Zealand juga akan turut menjalankan pelbagai aktiviti penjanaan dana bagi kedua-dua tabung ini. Maka hubungilah wakil-wakil kawasan anda hari ini bagi mengetahui aktiviti di kawasan masing-masing.

Auckland

Mohd Syafiq Sulaiman (skulltra_02@yahoo.com.sg)

Natasha Ismail (i_natasha@ymail.com)

Palmerston North

Muhd Khairul Afnan Mustapha (mujahidin88@gmail.com)

Siti Fairuz Sallehuddin (fairuzsallehuddin@gmail.com)

Wellington

Shariful Fadzli Md Hanafiah (shoradhi@yahoo.com)

Ernie Syahida Kamal (ernie.syahida@gmail.com)

Christchurch

Khairil Afif Mahmud (khayrailz@yahoo.co.uk)

Ida Suzana Hussain (umm_rahman@yahoo.com)

Dunedin

Ahmad Sufian (ahmadsufianster@gmail.com)

Siti Noor Maisarah Hanun Ibrahim (padi_dunk8@yahoo.co.uk)


Semoga bulan Ramadhan ini menyemarakkan lagi ruh infaq di kalangan kita semua dan semoga segala amal kita diterima oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Infaqkanlah dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu”

8.11.2010

Kembara Spring 2010



Assalamualaikum wbt
Sebagai kesinambungan daripada program Ihya’ Ramadhan; iaitu dalam usaha menghidupkan Ramadhan kali ini, ISMA NZ Wellington akan menganjurkan Kembara Spring 2010 pada 21-22 Ogos. Antara tujuan Kembara Spring ini diadakan adalah untuk:
· Menyingkap sirah Perang Badar, menghayati perjuangan dan mengambil iktibar dari peristiwa Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah
· Memupuk disiplin yang tinggi dalam kehidupan harian
· Membina ketahanan diri dan tubuh badan yang sihat

Antara aktiviti-aktiviti menarik yang telah disusun ialah tramping, teambuilding dan tazkirah sambil bersama-sama menjalani ibadah puasa (sahur, tadarus, iftar, terawih, qiamullail). Berikut merupakan maklumat program:

Tema: “Bersama berganding bahu mengejar impian yang satu”
Tarikh: 21-22 Ogos 2010M (10-11 Ramadhan 1431H) (bermalam di camp)
Tempat: Camp Wainui, Wainuiomata Wellington
Masa: 9.00am
Yuran: anggaran sekitar $25-30

Marilah kita bersama-sama meraikan bulan yang berkat ini dengan berusaha mencari peluang yang ada untuk menambah amal kita. Mari bersama berganding bahu mengejar impian yang satu... mengejar redhaNya.

“Telah datang kepadamu Ramadan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa dan memakbulkan doa. Allah melihat kamu
berlumba-lumba pada bulan ini dan membanggakanmu kepada malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal yang baik daripada dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah pada bulan ini” (Hadis riwayat Ath-Thabrani)

p/s: Tempat adalah terhad (maksimum 18 lelaki, 36 perempuan). Tunggu apa lagi? Mendaftarlah sekarang! Untuk mendaftar, sila reply email ini beserta nama penuh anda. Tarikh tutup ialah pada hari Ahad, 15 Ogos.

Jazakumullahu khairan kathira

ISMA NZ Wellington
http://seedofislam.blogspot.com/
http://ismanewzealand.com/

Buletin Ramadan 1431H (volume 1)

8.10.2010

Menambah Amal, Mengejar Redha


JOM TERAWIH JOM!


Tempat-tempat untuk solat terawih RAMADHAN 1431 H:

Surau Kelburn,
KK LT 202, Kelburn Campus
Victoria University of Wellington.
Tel: 02102482290
(Nadirah Halim)
[perlu student ID]

Flat 27,
Everton Hall
Everton Terrace, Kelburn
Wellington.
Tel: 0226747989 / 0211451626
(Ernie Syahida)

Staford House,
Work Room, Staford House
40 The Terrace
Wellington.
Tel: 0211417029
(Pa’din)

6/281 The Terrace
Wellington.
Tel: 021 145 1845 / 022 044 0488
04 384 8977
(Syafiqah Johan)

No 8 Village Accommodation
Willis Street, Wellington City
Wellington.
Tel: 0210752278
(Delima Radzwa)
[perempuan sahaja]

Wellington Masjid
7-11 Queens Drive
Kilbirnie.
Tel: 04 387 4226

Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada ALLAH), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas” [Sahih Muslim]

Sila bawa bersama Al-Quran atau tafsir Al-Quran untuk tadarus sebelum atau selepas terawih.
jumpe nnti yee... =)

INFAQ YUK!!
JOm tambah pahala dengan meng infaq kan wang kepada mereka yang memerlukan..
Bagi warga wellington yang masih tidak mempunyai sampul infaq istimewa ini, boleh la PM (private message) kami di SOI..

Hasil kutipan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan di PAlestin dan PAkistan.

KAmi akan mengutip sampul ajaib ini setelah tamat ramadhan. InsyaAllah

Ayuh warga welly, satu rumah satu sampul, satu hari satu dollar!


MOH TANDA BUKU AMAL!




SEMOGA ALLAH TERIMA AMAL KITA, INSYAALLAH



Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan ISMA Wellington


WELLINGTON, 7 Ogos- Satu majlis pelancaran Ihya’ Ramadhan telah berlangsung di Everton Hall, Wellington sempena menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak tidak lama lagi. Tujuan diadakan majlis pelancaran ini ialah bagi menimbulkan kesedaran dan penghayatan di kalangan pelajar Muslim Malaysia terhadap kelebihan bulan Ramadhan yang mulia ini berbanding bulan-bulan lain yang boleh menjadi titik tolak perubahan yang positif individu Muslim pada masa akan datang. Majlis ini yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) New Zealand cawangan Wellington dengan kerjasama Malaysian Student Departmen (MSD), Wellington Malaysian Student Organization (WMSO), Malaysian Wellington Postgraduate Society (MWPGS) serta Kelab UMNO Wellington telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr Wan Rafaei bin Wan Abdul Rahman, Chair of Malay Studies di Victoria University of Wellington. Majlis yang berlangsung dari pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu telah dihadiri seramai 70 orang pelajar Malaysia.

Majlis dimulakan dengan bacaan kitab suci Al-Quran oleh saudara Mohd Aizat dan seterusnya ucapan oleh Pengarah Program Ihya’ Ramadhan (PYI), Wellington, Sarah Shaina Abdul Rahman. Dalam ucapan beliau, ada diterangkan mengenai program Ihya’ Ramadhan yang membawa maksud “menghidupkan Ramadhan” yang akan berlangsung sepanjang bulan Ramadhan dengan objektifnya untuk menggalakkan warga Islam di Wellington supaya merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat sepanjang bulan Ramadhan secara konsisten dan berdisiplin. Beliau turut menyentuh beberapa kelebihan bulan Ramadhan seperti ganjaran pahala digandakan, pintu syurga dibuka , terjadinya peristiwa bersejarah Nuzul Quran (penurunan Al-Quran), perang Badar serta terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu Lailatul Qadr.

Majlis diteruskan dengan ucapan serta perasmian daripada Prof. Dato’ Dr Wan Rafaei bin Wan Abdul Rahman. Dalam ucap tamanya beliau turut menasihati para pelajar supaya mengekalkan prestasi pelajaran walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Beliau turut menegaskan kepentingan menjaga kehormatan agama Islam terutamanya mengenai pengalaman berpuasa di luar negara, di mana beliau menggalakkan kita untuk menjelaskan kepada bukan Islam mengenai fadilat ibadah puasa. Beliau yang menyokong aktiviti sebegini diadakan turut mencadangkan agar program seperti ini turut dihadiri oleh bukan Islam bagi mendedahkan mereka mengenai agama Islam.

Setelah majlis selamat dirasmikan, Pengarah PYI dengan sukacitanya menyerahkan cenderamata tanda terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr Wan Rafaei serta “care-package” sebagai tanda simbolik penyerahan buku amal, tabung ramadhan serta bulletin Ramadhan. Hadirin turut diedarkan buku amal, tabung Ramadhan, bulletin serta poster Ramadhan. Dengan tema, “Menambah Amal, Mengejar Redha”, pihak penganjur berharap semua Muslimin dan Muslimat dapat mempertingkatkan amalan semaksimum mungkin untuk mencapai keredhaan Allah. Tujuan diedarkan Buku Amal Ramadhan yang berupa “checklist” adalah bagi memudahkan muslimin/at sekalian untuk melihat prestasi serta perkembangan amalan mereka seharian. Selain itu, penganjur juga melancarkan Tabung Ramadhan melalui Kempen Satu Hari NZD 1, Satu Tabung Satu Rumah bertujuan untuk menerapkan budaya serta melatih individu Muslim untuk bersedekah dan infak (membelanjakan harta ke jalan Allah) yang diharapkan dapat berkekalan selama-lamanya.

Di samping itu, majlis turut diserikan dengan tayangan video Program Ihya’ Ramadhan serta persembahan nasyid daripada wakil UMNO Wellington dan WMSO. Sebelum majlis diakhiri, diadakan kuiz yang berkisar mengenai ibadah puasa serta kelebihan Ramadhan. Majlis berakhir dengan makan tengah hari yang ditaja oleh Malaysian Student Department(MSD).

Disediakan oleh: Ernie Syahida Mohd Kamal
Biro Media ISMA New Zealand (Wellington)
 

Blog Template by YummyLolly.com