Bila disebut tentang hati dan perasaan, perkara yang terlintas difikiran kita selalunya adalah kisah cinta antara dua insan. Kisah-kisah cinta seperti Adam dan Hawa, Laila dan Majnun, Shah Jehan dan isterinya serta pelbagai lagi kisah cinta sentiasa diperkatakan masyarakat. Tidak dinafikan, cinta antara suami isteri adalah suatu perhubungan yang indah dan diredhai Allah swt, serta menjadi bukti kekuasaan Allah, seperti disebut dalam Al-Quran, Surah Ar-Rum, ayat 21.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” [Surah Ar-Rum, 30:21]
Akan tetapi kuasa hati adalah jauh lebih hebat dari itu, kerana hati membentuk siapakah diri kita, dan apa yang ada di dalam hati kita hanya diketahui oleh Allah SWT dan diri kita sendiri. Hati merupakan tempat dimana kita dapat merasakan hubungan dengan Allah SWT, dan juga makhlukNya yang lain, seperti manusia, haiwan, alam, dan sebagainya. Seperti yang disebut dalam Al-Quran, hati orang yang beriman akan sentiasa tenang dan tergambar diwajahnya kasih sayang yang melimpah ruah.
“Ia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” [Surah At-Tagabun 64: 4]
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, Allah yang Maha Pengasih akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang (dalam hati mereka).” [Surah Maryam 19: 96]
Selain daripada akal, hatilah yang menentukan baik buruk sesuatu perkara yang kita lakukan. Disinilah dimana justifikasi perbuatan dipengaruhi oleh iman. Akal, hati dan iman merupakan satu tautan yang tidak dapat dipisahkan, satu correlation yang berkadar terus dengan perbuatan dan amal kita. Jika kita bayangkan satu segitiga yang menghubungkan unsur-unsur ini, iaitu hati, iman, dan akal, yang sentiasa berkait antara satu sama lain, dan hasilnya akan membuahkan perbuatan kita. Ianya turut dikenali sebagai akhlak. Jika tinggi iman kita, maka ia akan menghasilkan amal, dan sebaliknya, jika rendah iman kita, ia akan menghasilkan kejahatan.
“Orang-orang yang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerana mengingat Tuhan. Ingatlah, bahwa dengan mengingat Tuhan itu, hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, mereka memperoleh untung baik dan tempat kembali yang utama.” [Ar-Ra’du ayat 28-29]
Ayat ini menunjukkan bahawa jika kita sentiasa mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenteram, akan tetapi sebaliknya akan berlaku jika iman kita lemah. Kita akan merasa resah gelisah dan tidak tenang. Masihkan kita ingat pepatah Melayu yang berbunyi ‘Ikut hati mati, ikut nafsu lesu’? Hati itu digambarkan sebagai satu perkara yang akan membawa kita ke arah kejahatan. Dalam keadaan masyarakat zaman sekarang, dan persekitaran yang tidak soleh, kita akan mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan kejahatan. Syaitan tidak akan putus-putus menggoda kita untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan perintah Allah SWT dan syaitan akan melakukannya melalui pelbagai jalan, jalan kejahatan mahupun jalan kebaikan. Syaitan akan bermain-main dengan nafsu kita, menimbulkan rasa was-was, ataupun membuat kita rasa riak dan ujub dengan kebaikan yang kita lakukan.
“Nampakkah keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” [Al-Furqan: 43-44]
Walaupun sedemikian, disinilah terletaknya mujahadah kita. Kita hendaklah meletakkan kebergantungan hanya pada Allah, dan sentiasa berusaha untuk membaiki hati dan meningkatkan iman. Hidayah dan petunjuk dari Allah itu hendaklah dicari dan diusahakan, berbanyaklah berdoa dan muhasabah diri, kerana kitalah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah tidak akan rugi sedikit pun jika kita tidak beriman.“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah (petunjuk) kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu (agama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, kepada orang-orang yang menerima peringatan.” [al-An'aam: 125-126]
Dalam hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Abu Syaibah, Aisya ra., berkata,
“Nabi SAW sering berdoa dengan mengatakan, ‘Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku untuk selalu taat kepada-Mu.’ Aku pernah bertanya, ‘Ya Rasulullah, kenapa Anda sering berdoa dengan menggunakan doa seperti itu? Apakah Anda sedang marasa ketakutan?’ Beliau menjawab, ‘Tidak ada yang membuatku merasa aman, hai Aisyah. Hati seluruh hamba ini berada di antara dua jari Allah Yang Maha Memaksa. Jika mau membalikkan hati seorang hamba-Nya, Allah tinggal membalikkannya begitu saja.’”
Marilah kita sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT, marilah kita menuju ketakwaan, dengan bermu’ahadah (perjanjian dengan Allah), bermuqarabah (mengingati Allah), bermuhasabah (refleksi diri), bermu’aqabah (deraan jika bersalah), dan bermujahadah (berjuang), insyaAllah kita akan bersama-sama menuju Mardhatillah, keredhaan Allah. “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan sekalian hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu (Islam). Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menzalimi diri sendiri.”
Heart is like a drop of dew and petals of rose –anonymous-
Noor Ruzaini Adam
Wellington
0 comments:
Post a Comment