7.26.2010

Aku Insan Terpilih

Alhamdulillah, Segala Puji bagi Tuhan Sekelian Alam.. Kalimah syukur tidak lekang dari bibirku. Tanda syukur yang tidak terhingga akan ‘anugerah’ ini. Benar, kalau difikirkan keadaan aku dahulu dengan sekarang, aku sedih dan segan untuk mengaku siapa diriku sebelumnya. Namun, aku jadikan pengalaman dahulu sebagai satu pengajaran yang mudah-mudahan akan membentuk diri aku yang lebih baik pada masa akan datang. Bersendirian pada pagi yang indah dilimpahi sinar matahari begini, tiba-tiba kenangan tiga tahun lepas bermain-main di benak fikiranku. Peristiwa yang membentuk siapa diriku sekarang.

“Assalamualaikum Elly..Bangun..bangun...Dah solat Asar? Lagi sejam dah nak masuk maghrib,” kata Kak Yati dengan penuh lembut dan santun sebelum berlalu ke ruang dapur. Aku yang memang belum menunaikan solat ketika itu masih bermalas-malasan di atas sofa. Mata masih lagi mengantuk kesan daripada tidur petang.

“Elly, jangan lengah-lengahkan solat ye. Itu semua kerja syaitan. Akak dah solat tadi dekat uni, kalau tak, boleh kita jemaah sekali,” pujuk Kak Yati lagi sambil berjalan menuju ke ruang tengah rumah.

“Ye ye.Baiklah,” ujar aku dengan lemah dan tidak bersemangat dan terus berlalu mengambil wuduk.

Kak Yati merupakan bekas housemate ku. Aku mempunyai masalah tidak mendapat rumah sewa ketika mula-mula menjejaki bumi indah ciptaan Allah, New Zealand tiga tahun lepas. Ketika tiba di lapangan terbang, kelihatan Kak Yati dan beberapa senior yang lain sudah lama menanti kedatanganku dan beberapa pelajar junior yang lain. Memandangkan hanya aku seorang yang tidak mempunyai tempat tinggal, Kak Yati dengan pantas dan ikhlas menghulurkan bantuan supaya aku tumpang di rumahnya sementara mendapat pengesahan dari pihak university berkaitan dengan rumah sewa. Memandangkan aku pun masih kepenatan akibat tempoh penerbangan yang panjang, maka aku redha dan pada waktu yang sama berterima kasih padanya. Sejak itulah, aku menerima sentuhan rohani secara tidak langsung dari Kak Yati. Dia mengajak aku solat berjemaah, membaca al-Quran, mathurat dan kadang-kadang dia member tazkirah pendek berupa hadis dan kata-kata nasihat. Sepuluh hari aku berkongsi bilik dengannya sudah cukup menyentuh jiwaku yang “kering” dan “lesu”. Aku juga terasa seperti dikawal dan diperhatikan padahal dia tidak mengawal pergerakanku apatah lagi mengganggu urusan kerjaku. Kadang-kadang aku rasa keliru dan bingung memandangkan bukan gaya hidup ini yang aku bayangkan jika tinggal di luar Negara.

Sepuluh hari kemudian, akhirnya aku berjaya mendapat sebuah bilik sewa di bawah pengurusan pihak universiti. Namun aku terpaksa berkongsi rumah dengan empat orang bukan Islam, mujurlah kesemua mereka perempuan. Aku tahu Kak Yati sedih dan keberatan untuk melepaskanku, tapi apakan dayaku. Pada mulanya, aku rasa seronok dan ‘excited’ sebab aku yakin ini peluang terbaik bagiku untuk merasai pengalaman baru kehidupan di luar Negara. Aku anggap ini jalannya untuk aku menjadi lebih baik ketika berada di perantauan. Semenjak aku keluar dari rumah Kak Yati, aku sudah jarang menghubunginya. Aku lebih banyak menghabiskan waktu dengan menonton dan melayari internet di dalam bilik. Kadang-kadang aku berbual-bual dengan teman serumahku, tapi mereka juga selalunya lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik atau pun keluar bersuka ria. Kawan-kawanku yang lain pula tinggal agak jauh dari rumahku membuatkan aku agak malas untuk melepak dengan mereka, lalu aku lebih banyak melakukan aktiviti secara bersendirian.

Rupa-rupanya banyak kekangan apabila serumah dengan orang bukan Islam yang tidak memahami agama kita. Mereka kadang-kadang bertanya padaku soal aurat, halal haram makanan, batas pergaulan serta cara hidup yang kebanyakkan sangat bertentangan dengan kehidupan mereka. Namun mereka seolah-olah melihat aku sebagai ditindas dan dipaksa untuk melakukan semua itu. Mungkin ilmu agamaku masih sedikit dan kurang meyakinkan mereka. Walaupun aku seorang yang jahil ilmu agama, namun aku masih berpegang pada tuntutan-tuntutan asas Islam seperti kewajipan solat 5 waktu, tidak boleh makan babi dan minum arak dan tidak boleh berzina. Aku ingat dengan melakukan semua itu, sudah cukup untuk menjadikan aku seorang Muslim yang ‘sejati’. Sehinggalah aku jadi tertekan setiap kali tiba hujung minggu, kerana salah seorang daripada teman serumahku pasti akan membawa pulang teman lelaki. Aku jadi gelisah. Hatiku berdetik ,” Alah, mereka nih kan mat saleh. Standard lah tidur-tidur bersama ni. Takyah lah fikir pasal diorang. Baik kau tengok movie malam weekend”. Tapi hati aku tetap tidak tenang. Aku terasa seperti mahu keluar dari rumah malam itu juga. Tapi ke mana aku mahu pergi? Rumah kawan-kawanku terletak agak jauh dari rumahku. Meredah kesejukan New Zealand pada waktu malam secara berseorangan pada malam minggu bukan idea yang bernas memandangkan lebih banyak musibah bakal terjadi. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi, menandakan ada SMS baru diterima.

“ Salam Elly. Awak apa khabar? Akak ada dekat area rumah awak ni. Tadi ada study group kat rumah Kak Nor. Akak nak singgah rumah awak boleh? Ada kat rumah tak?”- Kak Yati.

Subhanallah.. Allah telah berikan pertolongan padaku, seorang hambaNya yang sangat kerdil dan lemah, di saat-saat aku sangat memerlukannya. Tanpa melengahkan masa, aku terus membalas mesej Kak Yati dengan mengatakan bahawa aku ingin mengikutnya pulang dan ingin menumpang tidur semalaman. Dengan berbesar hati, Kak Yati menyambut kedatanganku pada malam itu.

Keesokkan paginya, setelah selesai membaca mathurat usai solat Subuh, aku melihat Kak Yati segera ke dapur dan menyediakan makanan. Aku berfikir untuk menyambung tidur, tapi disebabkan rasa segan dan sudah lama tidak bertemu dengan Kak Yati, aku batalkan sahaja niat itu.

“Akak nak masak untuk siapa ni? Banyak betul bahan masak yang akak sediakan ni,” Tanya aku sambil menyuapkan roti ke dalam mulut.

“Oh, sekejap nanti akak ada program usrah dekat rumah ni. Akak ingat nak sediakan sedikit makanan untuk mereka nanti,” balas Kak Yati sambil sibuk menyediakan bahan masak.

“Usrah itu apa kak?” Tanya aku.

“Usrah itu konsepnya sama seperti study group, Cuma kita memfokuskan pada isu-isu berkaitan agama Islam seperti Al-Quran, Hadis, ibadah, tauhid dan fiqah, kadang-kadang pasal isu semasa seperti isu Palestin, masalah social dan sebagainya. Nanti awak pun boleh join juga,” tutur Kak Yati dengan lembut tapi bersemangat.

Alhamdulillah buat pertama kalinya aku mengenali usrah. Dan perkara pertama yang aku pelajari daripada usrah ialah perihal ukhuwwah, iaitu ikatan hati dan jiwa yang berlandaskan akidah, di mana hubungan rapat sesama manusia diniatkan hanya kerana Allah. Bayangkan aku yang pertama kali hadir dalam usrah itu disambut dan diterima dengan baik dan mesra. Aku kagum dengan kesungguhan mereka dalam mencari ilmu Allah. Mereka sanggup datang dari rumah masing-masing, dengan ada yang berjalan kaki, berbasikal, menaiki bas, semata-mata mahu mencari ilmu dan mengeratkan lagi ikatan silaturahim di antara mereka. Mereka mengambil jurusan yang berbeza, berasal dari negeri yang berlainan serta berlainan umur, namun mereka sangat rapat dan mesra antara satu sama lain. Aku tidak lagi merasai kesunyian tinggal di perantauan, jauh dari keluarga. Semuanya sudah ku anggap seperti adik dan kakakku sendiri. Dengan tidak semena-mena, aku jadi sedih, terharu dan hiba. Perasaanku bercampur baur. Tidak pernah aku merasai pengalaman seperti ini, berada dalam golongan yang menerima aku tanpa mengambil kira siapa aku yang sebenarnya. Sesungguhnya, aku bersyukur dengan nikmat Allah yang menganugerahkanku hidayah dan petunjuk dalam mendekatkan diriku dengan-Nya.

Petang itu, aku duduk berdua dengan Kak Yati di dalam biliknya. Dia bertanya mengenai diriku yang kelihatan sedih dan menangis. Lalu, akhirnya aku berterus terang kepadanya mengenai apa yang aku rasai sepanjang berada bersamanya.

“Kak, terima kasih sangat-sangat sebab sentiasa bersabar dengan saya dan tidak pernah putus asa dalam mengajak saya jadi lagi baik. Walaupun dulu saya selalu mengelak untuk menyertai program akak,” ujarku dalam sedu yang masih bersisa.

“Elly, sesungguhnya hidayah itu milik Allah sahaja, tetapi hidayah itu disampaikan dalam pelbagai cara, mungkin kali ini disampaikan melalui ukhuwwah antara kita. Alhamdulillah..Bersyukurlah kita masih dikurniakan nikmat iman dan berdoalah agar ditetapkan hati untuk terus kekal di jalan dakwahnya. Dalam surah Al-An’am, ayat 125 ada menyebut

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.”

Maka jika sekali mendapat hidayah, genggamlah ia jangan sampai ia terlepas, kerana bukan mudah untuk mendapatkan hidayah. Ada sesetengah orang, mengambil masa bertahun-tahun baru memperoleh petunjuk malah ada juga yang terus hanyut. Sesungguhnya beruntunglah kepada manusia yang dipilih untuk diberikan hidayah oleh Allah,” terang Kak Yati dengan tenang dan mengesankan. Sekarang, Kak Yati sudah pulang ke tanah air dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, namun kata-katnya masih kekal melekat dalam hatiku sampai sekarang dan diharapkan untuk selamanya agar aku mampu untuk menyampaikannya pada orang lain pula.

Aku melihat jam di tangan, sudah pukul 10.30 pagi. Aku bersiap-siap untuk ke rumah salah seorang juniorku, bercadang untuk menziarahinya. Lagipun dia juga mengalami masalah seperti diriku dahulu, terpaksa tinggal serumah dengan orang bukan Islam. Walaupun aku tahu setiap orang mempunyai pendirian dan personality yang berbeza, namun aku berharap dengan usaha kecilku ini mampu untuk memelihara dirinya dari terjebak dalam unsur-unsur jahiliah. Semoga hatinya juga turut ‘disentuh’ Allah. Aku menapak keluar menuju ke rumahnya dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, dan berharap setiap langkahku diredhai Allah. Selebihnya aku hanya bertawakal.

Note: Cerita di atas hanyalah rekaan penulis semata-mata, sebarang kesamaan nama watak, peristiwa, lokasi dan sebagainya hanyalah kebetulan yang tidak disengajakan. Terima kasih. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Lidya Alya

Wellington

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com