5.30.2010

Kembali

Tugasan, laporan makmal, latihan, ujian dan peperiksaan. Semuanya memeningkan kepala. Menyakitkan mata dilihat timbunan buku dan kertas di atas meja. Issshhhhh, kenapa masih belum tiba masanya untuk tidak merasai semua ini. Kusut, pusing dunia dengan hari-hari yang dilalui. Kadang-kadang terasa kosong, tiada perasaan yang terasa. Sunyi hati bila tahap tertekan memuncak ke puncak tertinggi. Bingung dengan perasaan, jiwa dan fikiran. Mana satu menjadi pilihan. Mana satu yang menjadi haluan? Ke mana harus dibawa lara dan beban di dalam hati dan kepala ini. ‘Pelajar’ itu gelaran yang dipikul. Mampukah diharungi dengan jaya atau duka? Hati masih mencari-cari jalan yang perlu dilalui. Jalan yang sunyi, keseorangan dan suram atau jalan yang bahagia, bersama saudara dan menggembirakan. Ya Allah, mungkin dengan kembali kepada-Mu semua ini akan hilang. Semua ini akan ringan, mudah dan senang. Ringankanlah bebanan hati ini Ya Ilahi. Helaian kalam-Mu diselak dan surah Insyirah menambat hati, memautkan mata untuk mendalami maksudnya. Hati terkesan dengan ayat-Mu:

Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahannya (94:5&4).

Inikah petunjuk yang dicari? Inikah kekuatan yang didamba? Inikah jalan yang harus dipilih sebagai hamba-Mu Ya Tuhanku. Mungkin kerana jauh dari-Mu haluan yang ditempuhi penuh onak. Sakitnya sangat memedihkan. Hilang tujuan hidup ini. Terasa hidup makin hari makin tiada gunanya. Mana pegangan dan pedoman? Dilempar jauh kerana keasyikan dunia. Kerana leka dengan nikmat yang sementara. Leka dengan penipuan dan hasutan Syaitan. Leka dengan cara kafir yang membawa kepada kesesatan. Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun, ampunkanlah segala dosa dan kelalaian hamba-Mu. Lamunan terhenti kerana linangan air mata hampir menitis jatuh ke atas helaian Kalam Suci-Mu. Jari-jemari ligat mengubah lampiran lagi untuk mencari ayat-ayat-Mu yang menenangkan jiwa, membawa kepada penyesalan dengan kelalaian dan kealpaan yang telah dilalui selama ini. Mata terhenti pada ayat yang berbuyi :

Wahai orang-orang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar (2:153).

Telah Kau berikan panduan kepada hamba-Mu yang dalam kesusahan dan bebanan tetapi adakah kerana sombong dengan-Mu selama ini membuatkan hidup terasa beban. Tenang hati. Ringan kepala. Senang jiwa. Ayat-ayat-Mu Ya Allah, sangat-sangat indah. Selama ini dipikul gelaran Muslim. Tapi hanya sekadar luaran. Dalamnya masih kosong. Masih tidak terisi sehinggalah hari ini. Sehinggalah tanpa disedari Islam yang dianuti bukan sekadar nama untuk dibanggakan. Tapi sebagai jalan yang lurus yang akan dan terus dilalui untuk mendapat keRedhaan-Mu, Yang Maha Mulia. Di saat ini, gelaran ‘Pelajar Muslim’ bukan lagi taruhan. Tapi MUSLIM YANG MENUNTUT ILMU itu panggilan yang sebenarnya. Semoga Allah memudahkan denai yang akan dilalui, agar kaki menapak dengan baik. Walaupun banyak semak rintangan dan sempit laluannya, tapi cukup untuk rasa bersyukur dengan apa yang diberi oleh-Nya. Kekusutan hati sudah berlalu, moga lembaran hidup yang baru membungakan harapan yang indah di masa hadapan. Moga dapat dicari keindahan dan ketenangan yang menggetarkan jiwa.

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com