Saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Tidaklah miskin papa kedana tetapi tidaklah berada. Namun, disebabkan saya membesar dengan 2 orang kawan baik yang berasal daripada keluarga yang berada, ketika kecil saya selalu sedih kalau bandingkan diri saya dengan mereka. Masa kecil, kalau lepas solat saya mesti doa “Ya Allah, Kau bukakanlah pintu hati abahku untuk belikan aku....., amin” Kalau waktu itu saya hendak beg sekolah baru,maka saya berdoa untuk beg sekolah baru. Bila dah besar, kelakar pula kalau ingat balik. Kadang-kadang, rasa cemburu dengan kekayaan ini terbawa-bawa sehingga saya besar. Ya Allah, susahnya untuk belajar bersyukur.. Bila terlintas di hati sifat cemburu ini, cepat-cepat saya istighfar.
Sewaktu kecil, saya selalu ingat orang kaya ni orang paling happy dalam dunia. Bila saya semakin matang, saya kaji semula. Can money buy happiness? TIDAK sama sekali. Tidak semestinya kaya, segala ujian Allah boleh ditukar dengan wang. Kadang-kadang, ada orang kaya tapi ditimpa cancer. Bolehkah nyawa ditukar dengan duit? Allah tidak menjadikan happiness di dunia ini sempurna. Ingatlah ayat Allah :
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (30:54)
Jangan kita rasa gembira dengan rezeki dan nikmat yang Allah bagi. Tidak semua kekal untuk selamanya. Rasulullah saw pernah memiliki seekor unta yang dinamai Al-Adhba’. Unta ini tidak pernah dikalahkan oleh para sahabat sehinggalah pada suatu hari seekor unta Arab Badwi telah mengalahkan unta itu. Para sahabat berasa gelisah. Lantas Nabi bersabda
“Sudah menjadi hak Allah untuk tidak menaikkan sesuatu, kecuali Dia akan menurunkannya” ( HR Bukhari)
Kalau sekarang kita kaya, bolehkah kaya itu membawa kita happiness yang hakiki? Kalau sekarang kita cantik, kekalkah cantik kita itu sampai ke liang lahad? Kalau kita ada rumah banglo mewah dihias cantik, bolehkah kita merasa happiness itu bila sudah meninggal? Lantas kalau jawapan kita tidak untuk semua soalan tadi, apakah happiness hakiki yang kita cari?
Nabi bersabda dalam hadith Qudsi, Allah berfirman,
‘Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKu yang soleh apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia.’ (HR Bukhari & Muslim).
Saya pernah melihat gambar betapa cantiknya Festival Bunga Tulip di Keukenhof,Holland. SubhanAllah! Indah sungguh ciptaanNya. Rasa macam hendak baring di atas lautan bunga-bunga ciptaan Allah seperti tuan puteri. Kalau cantik di dunia pun saya sudah kagum, apatah lagi Syurga yang tidak terbayang oleh manusia.
Cuba bayangkan ketika kita memasuki syurga, kita memiliki 4 perkara yang kita merasa takut akan kehilangannya di dunia : kesihatan yang abadi tanpa merasa sakit selepas itu,kehidupan abadi yang tidak pernah mati, ketetapan usia muda tanpa pernah berhenti dan bersenang-senang tanpa risau akan hilang kesenangannya. Kesemua 4 perkara ini amat mustahil untuk kita capai di dunia. Namun, semua ini boleh dicapai di syurga. Sudahkah anda tertawan dengan syurga? ;)
Suatu hari, Nabi Musa bertanya pada Allah,
“ Ya Tuhanku, tunjukkan padaku penghuni syurga yang paling rendah?” Allah menjawab, “Wahai Musa, ia keluar dari neraka dengan merangkak, dan ketika ia keluar dari neraka, ia melihat ke arah neraka sambil berkata, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatku darimu.’ Maka Allah mengatakan pada orang itu, ‘Pergi dan masuklah ke syurga!’ Ia bergegas pergi, tetapi ia menyangka seolah-olah syurga itu telah penuh, maka ia kembali dan berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku melihat syurga telah penuh.’ Allah berkata, ‘Apakah kau puas jika memiliki kerajaan, seorang raja yang paling agung di antara raja-raja besar di dunia?’ Ia menjawab, ‘Apakah kamu menghinaku wahai Tuhan sementara Engkau adalah pemilik alam semesta?’ Maka Allah berkata, ‘kau seperti raja besar dari dunia, seperti dia, seperti dia, dan seperti dia.’ Hamba itu menjawab ketika Allah berkata untuk yang kelima, ‘Aku rela wahai Tuhanku, aku rela wahai Tuhanku.’ Allah berkata, ‘Kau seperti raja besar, satu raja dari dunia atau seperti sepuluh kali lipat ganda dari raja dunia, dan bagimu apa yang nafsumu kehendaki, mataku nikmati dan kau kekal di sana.’
Musa bertanya lagi, “ Wahai Tuhanku, apakah itu penduduk syurga yang paling rendah? Allah menjawab, ‘Ya.’ Musa bertanya, “ Wahai Tuhanku, siapakah yang paling tinggi?” Allah menjawab, ‘Wahai Musa, mereka yang Aku inginkan, Aku menanamkan kemuliaan mereka dengan tanganKu.” (HR Muslim, At-Turmudzi & Ibnu Hibban)
Apa erti ‘Aku menanamkan kemuliaan mereka dengan tanganKu’ ? Fahamilah bahawa kebahagiaan dan kemuliaan kita di tangan Allah. Jadi, kita seharusnya mendekatkan diri kepadaNya dan berdoalah. Tidak inginkah kita pada happiness yang hakiki ini?Musa bertanya lagi, “ Wahai Tuhanku, apakah itu penduduk syurga yang paling rendah? Allah menjawab, ‘Ya.’ Musa bertanya, “ Wahai Tuhanku, siapakah yang paling tinggi?” Allah menjawab, ‘Wahai Musa, mereka yang Aku inginkan, Aku menanamkan kemuliaan mereka dengan tanganKu.” (HR Muslim, At-Turmudzi & Ibnu Hibban)
Mereka bertanya
“ Wahai Rasul, ceritakanlah pada kami bangunan syurga.” Nabi berkata, “Batu batanya dari emas, batu batanya dari perak dan tanah liatnya dari kasturi yang amat wangi dan kerikilnya dari mutiara” (HR At-Turmudzi & Imam Ahmad)
Maha Suci Allah, Pencipta Yang Agung. Kalaulah ada rumah di dunia ini diperbuat dari emas,perak dan mutiara..berapalah agak-agaknya harga untuk sebuah rumah itu? Kalaulah manusia berlumba-lumba perfume siapa yang lagi kuat bau wanginya serta tahan lebih lama, boleh ke perfume itu dibandingkan dengan kasturi syurga?
Wahai yang masih lagi mencari-cari happiness dunia, yakinlah dengan janji Allah akan happiness akhirat. Tidak ada happiness yang sempurna di dunia. Nabi bersabda,
“Tidaklah pohon di syurga itu kecuali batangnya dari emas” (HR At-Turmudzi)
Cuba kita bayangkan, bercahaya dan berwarna-warni. Syurga yang tidak ada siang dan malam. Syurga yang seharum kasturi. Syurga yang penuh dengan bidadari. Tidak terbayang bukan keindahan syurga? Sehingga Allah berfirman,
“Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan” (35;55)
Sibuk! Itu firman Allah, Pencipta kita yang tahu manusia akan leka akan sesuatu yang disukai. Sudah tentu syurga itu ter-amatlah best kan? Kalau tidak, mesti Allah Yang Maha Mengetahui tak akan berfirman sebegini. Kalau kita tengok di dunia, orang yang suka berharta - sibuk mengumpul harta sehingga leka dan alpa akan tanggungjawab pada Allah. Kalau orang yang suka main games – leka sampai tak tidur, tak makan.
Lantas, tidak ingin kah kita akan happiness yang Allah sudah persiapkan untuk hambaNya yang soleh? Islam tidak melarang kita mencari harta kerana Allah suka akan hambaNya yang kuat, yang berdikari serta tidak bergantung kepada orang lain. Islam itu indah,merangkumi segala aspek dalam kehidupan kita. Pendek kata, kita seharusnya menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan kita menjalani kehidupan sementara ini untuk menuju ke kehidupan yang hakiki – akhirat kelak.
Money can’t buy love. Terutama jika love itu cinta Allah kepada hambaNya. Bukti Allah sangat cinta pada hambaNya? Disiapkan syurga untuk hambaNya yang taat, yang soleh. Kita lihat fitrah manusia terhadap orang yang berkasih sayang antara satu sama lain. Kalau kita kasihkan seseorang manusia itu, contohnya : ibubapa, sudah pasti kita sanggup membuat apa sahaja demi membahagiakan mereka. Apabila hari kelahiran mereka tiba, sudah tentu kita akan berusaha memberi sesuatu kepada mereka, lambang kasih sayang kita kepada mereka. Itu kasih sayang antara manusia. Kita bandingkan pula cinta antara kita dengan Sang Pencipta yang Maha Mendengar ketika kita ditimpa bencana, Yang Maha Pengampun apabila kita lalai dari tanggungjawab, Yang Maha Pemurah dengan segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita.
Ayuhlah kita sama-sama mendekatkan diri kepada Allah, Pencipta Agung yang tidak pernah putus kasih sayangnya kepada manusia. Kita bukan ingin menjadi seperti orang kafir yang tidak ada matlamat hidup dan memilih untuk bersenang lenang di dunia kerana mereka telah memilih untuk berpaling daripada agama Allah. Kita buka buku akaun di dunia untuk kehidupan di akhirat yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ganjaran sudah pun disiapkan dan digambarkan kepada kita. Cuma terpulang pada kita untuk memilih syurga dunia yang sementara, penuh dengan tipu muslihat dek hati manusia yang kotor atau memilih syurga akhirat yang begitu indah digambarkan di dalam al-Quran. Sebagai orang Islam, sudah tentunya syurga akhirat menjadi pilihan kita. Tetapi, terpilihkah kita sebagai penghuni syurga? Kita renung-renungkan.... Wallahualam.
0 comments:
Post a Comment