7.06.2009

Mari Berkhalwat


Bilamana perkataan khalwat menerjah kotak pemikiran sahabat-sahabat sekalian, pasti tergambar situasi sepasang kekasih yang sedang sibuk bermadu asmara dan tanpa diduga-duga disergah oleh pihak jabatan agama. Motel-motel murahan, kawasan tepi pantai, kawasan taman permainan atau lebih “class” lagi hotel-hotel eksklusif pada kebiasaannya menjadi lubuk kepada perlakuan maksiat ini. Perkara biasa yang difahami dengan erti khalwat adalah melibatkan hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan yang bukan mukhrim.

Walau bagaimanapun, di dalam konteks agama, khalwat adalah sesuatu yang sangat dituntut untuk dilakukan serta mempunyai nilaian yang sangat tinggi disisi agama. Pelik tapi benar, khalwat di dalam islam amat berbeza dengan situasi di atas.Nak tahu apekah khalwat yang dimaksudkan????? Mari ana terangkan….

Khalwat adalah suatu proses “pengasingan diri” dari kesibukan dunia dengan melakukan ibadah kepada Allah SWT. Khalwat merupakan medium terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada pemilik alam ini. Dengan berkhalwat, manusia beroleh ruang masa untuk bermuhasabah terhadap segala amal dan tindak-tanduk yang telah dilakukan, melakukan perenungan diri serta pengamatan terhadap alam semesta.

Sebelum dilantik dan diangkat menjadi rasul, Nabi Muhammad SAW selalu mengasingkan diri di Gua Hira’. Baginda mengasingkan diri daripada umatnya yang terlalu asyik dengan pelbagai amalan-amalan jahiliyah dan penyongsangan aqidah. Baginda banyak menghabiskan masa dengan beribadah, berfikir tentang kejadian alam serta permasalahan umat ketika itu. Berkhalwat mempersiapkan diri baginda sebelum di angkat menjadi seorang nabi.

Antara kelebihan-kelebihan berkhalwat ialah dapat mendidik hati kita untuk mencintai Allah ‘Azza wa jalla. Di antara cara berkhalwat adalah:

i.Memperbanyakkan bertafakur terhadap tanda-tanda keagungan Allah, nikmat,anugerah dan kasihan belas-Nya.
ii.Sentiasa mengingati Allah Ta‘ala dengan hati dan lidah.
iii.Menjaga ibadah fardhu dan memperbanyakkan amalan sunat.


Amalan khalwat yang dilakukan dengan konsisten inshaAllah dapat memberi kesan yang positif seperti beroleh ketenangan jiwa serta kenikmatan kemanisan iman. Khalwat berupaya untuk merawat penyakit hati dan memuhasabah diri. Hati manusia seringkali diserang dengan pelbagai penyakit seperti bongkak,‘ujub, riya’,hasad dengki dan perasaan cintakan dunia. Dalam sesi khalwat kita akan dapat menyingkap hakikat diri kita, hakikat betapa kita fakir dan amat memerlukan pergantungan dan bantuan-Nya pada setiap detik. Kita juga dapat menyingkap kelemahan diri sebagai manusia, serta ketidakupayaan kita untuk memberi manfaat mahupun menimbulkan mudharat kepada Allah. Dengan itu akan timbullah keikhlasan, tawadhu’ dan pelbagai sifat terpuji lagi di dalam diri kita.

Antara saranan waktu yang boleh kita lakukan untuk berkhalwat ialah

1.Ketika beriktikaf di dalam masjid terutamanya pada sepuluh akhir Ramadan, atau satu malam pada setiap bulan.
2.Ketika beristighfar terutamanya pada sepertiga malam.
3.Ketika berzikir di waktu pagi dan petang.
4.Ketika bermuhasabah diri sebelum tidur dan membaca zikir dan doa tidur.
5.Pergi awal ke masjid untuk bersembahyang dan duduk beriktikaf menunggu masuk waktu sembahyang.
6.Ketika duduk berzikir dan berdoa selepas selesai menunaikan sembahyang.
7.Ketika mendengar azan dikumandangkan dan mengulang seruannya.

Akhir kata mari berkhalwat!!

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com