9.07.2009

Senyum, sabar, dan berlapang dada

Setiap hati inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusia pun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Semua ini datang dari perasaan dan fikiran kita, oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaganya dengan sentiasa melakukan kebaikan. Satu kebaikan perlu dimulakan berkali-kali. Jadi, binalah hubungan berkali-kali tanpa putus asa. Berilah dan teruslah memberi dan sentiasa didik perasaan kita kerana perasaan adalah bayangan fikiran. Jika fikiran kita positif, perasaan kita akan gembira. Sebaliknya, apabila perasaan kita sedih, marah atau kecewa, fikiran kita juga negatif. Justeru, dengan menjaga perasaan, bererti kita juga menjaga fikiran kita. Perasaan dan fikiran itu saling berkaitan. Perasaan itu umpama nyala api manakala fikiran itu adalah unggunnya.

Kaedah pertama untuk menjaga perasaan ialah dengan memberi senyuman. Berilah senyuman kepada semua. Senyuman itu ada dua jenis. Pertama, kerana gembira. Kedua, kerana ingin menggembirakan. Senyum kerana gembira menggambarkan perasaan kita pada masa itu, akan tetapi senyuman yang luar biasa dan mahal harganya ialah senyuman untuk menggembirakan orang lain. Sungguh pun ada kalanya dalam hati sendiri bergelojak dengan masalah, badan sendiri sedang sakit, diri sedang letih, tetapi demi sahabat di depan mata, kita senyumlah jua. Bukan kerana gembira tetapi kerana ingin menggembirakan.

Inilah senyuman yang dikaitkan dengan iman, yang disamakan dengan satu sedekah. Semata-mata kerana Allah SWT, dan kasih sayang kita terhadap rakan dan orang-orang di sekeliling kita. Rugikah kita dengan senyuman itu? Tidak. Insya-Allah, niat kita untuk menggembirakan orang lain akan dibalas oleh Allah dengan kegembiraan yang setara atau yang lebih lagi.




Cara kedua untuk menjaga perasaan kita adalah dengan memberi salam. Jangan anggap salam itu hanya diberikan ketika hendak memasuki rumah atau ketika hendak bertemu dan berpisah sahaja. Salam boleh dihulurkan sebaik ingin tidur atau bangun dari tidur. Hulurkan salam dan senyuman waktu pertama kali bertentang mata selepas bangun dari tidur atau sebelum menutup mata untuk tidur. Atau jika bersua semula setelah sudah agak lama berada di bilik yang lain. Berilah salam pada setiap masa, terutamanya pada orang-orang terdekat dengan kita, seperti rakan sebilik, serumah, sekelas, sefakulti, dan pada sesiapa yang kita jumpa apabila keluar ke Cuba St, Oriental Bay, mahupun Lambton Quay. Bukankah salam itu merupakan satu doa?

Ketiga, berjabat tangan. Budayakan berjabat tangan dan memeluk rakan (sama jantina) ketika mula bertemu atau hendak berpisah. Jangan sekali-kali kedekut untuk menghulurkan tangan buat bersalaman. Jika terasa bersalah, cepatlah meminta maaf dengan menghulurkan salam. Bila dihulurkan tangan, jangan pula ego untuk tidak menyambutnya. Maafkanlah sahabat kita, bukan dengan hanya dengan kata-kata dan hati, tetapi juga dengan perbuatan yakni dengan cara berjabat salam.

Mengucapkan salam, memberi senyuman dan sering berjabat tangan akan menyuburkan ikatan hati-hati antara kita. Salam itu umpama “baja”, senyuman itu umpama “air” dan berjabat tangan itu umpama cahaya di kebun ukhuwwah kita. Hati-hati kita juga akan menjadi lebih tenang. Bila Allah telah hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa kebahagiaan dan ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua keadaan kita akan mendapat ketenangan. Susah, kita sabar. Senang, kita syukur. Kita bersalah, mudah meminta maaf. Jika orang meminta maaf, kita sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah bahagianya punya keikhlasan hati yang sebegini?

Berlapang dada lah, dan jagalah perasaan sendiri agar ceria selalu. Insya-Allah keceriaan itu akan memudahkan kita menjaga perasaan kita dan orang-orang di sekeliling kita. Orang yang gembira selalunya dapat menggembirakan orang lain. Hindarilah rasa benci, marah, kecewa, sayu dan putus asa. Tetapi jika kadang-kadang rasa-rasa negatif itu timbul jua, bermujahadahlah untuk memeranginya. Jangan sekali-kali dibiarkan menetap lama-lama di hati kita. Ia umpama serangga perosak yang boleh memusnahkan kebun ukhuwwah kita. Jadilah sumber kegembiraan, jadikanlah diri kita sebab untuk orang lain gembira. Sentiasalah berfikir, berusaha dan melakukan apa sahaja yang boleh menggembirakan sahabat dan keluarga kita dengan ikhlas. Insya-Allah, kebaikan yang kita berikan akan kembali kepada kita semula.
Seperti dalam Surah Al-Insyirah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)? Dan Kami telah menurunkan bebanmu. Yang telah memberatkan punggungmu.Dan Kami angkat keharuman namamu? Sesudahnya di mana ada kesulitan di situ ada kelapangan. Sesungguhnya, disamping kesulitan, ada kelonggaran. Karena itu, bila engkau telah selesai dari suatu pekerjaan, lakukanlah pulalah urusan yang lain dengan tekun. Namun, kepada Tuhanmu sajalah hendaknya kamu mengharapkan pembalasan pahalanya.
(Al-Insyirah 94:1-8)



Pepatah Cina ada mengungkapkan, tangan yang menghulur bunga mawar pasti akan berbau harum. Hulurkanlah “bunga mawar”, setiap hari, setiap masa. Insya-Allah, sebelum rakan kita mencium keharumannya, tangan kita yang menghulurkannya akan berbau harum terlebih dahulu. Bunga mawar itu simbolik kepada kebaikan. Maksud menghulurkan bunga mawar itu ialah buatlah kebaikan, tidak kira sama ada kecil atau besar. Seperti apa yang dikatakan oleh A’id Al Qarni dalam bukunya “La Tahzan”, “orang yang pertama merasakan nikmat kebaikan ialah orang yang melakukannya!” Ertinya, sesiapa yang berusaha menjadi sumber kegembiraan (dengan terlebih dahulu berbuat baik), maka dialah yang akan menikmati kebaikan itu sebelum orang yang ditujukan akan kebaikan itu merasa gembira.

Semua ini pokok pangkalnya adalah hati kita,
Sabda Rasulullah saw:
“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.” Riwayat Al-Bukhari

Dan bagaimanakah caranya untuk kita membersihkan hati kita? Dengan mengingati Allah maka hati-hati akan menjadi tenang. Allah mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang menggambarkan keindahan, keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil), Al Ghani (Maha Kaya), Ar Rahman (Maha Pengasih), Dan Ar Rahim (Maha Penyayang).

Hadis Qudsi:Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.”
(Sahih Bukhari)

Marilah kita berdoa dengan sebanyak-banyaknya di bulan Ramadhan yang mulia ini, agar kita diberi keberkatan, keampunan, dan kebebasan dari api neraka untuk sama-sama mencapai matlamat hidup kita, kebahagiaan abadi di Syurga Firdaus, insya Allah.

Firman Allah:
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina.” Al-Mukmin : 60


-Cahaya Tempat Ketenteramanku-

Ubahsuai dari :
http://genta-rasa.com/2009/08/05/rindu-dan-cinta-itu-untuk-siapa/
http://genta-rasa.com/2009/08/10/tafakur-di-pusara-cinta/




1 comments:

ruzaini said...

salam moderator, boleh x buat gambar2 tu bila tekan jadi besar?hehe

 

Blog Template by YummyLolly.com