Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Tidak ada Tuhan melainkan Allah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah
Allah Maha Besar dan Maha Agung dan segala puji bagi Allah
Maha Suci Allah pada pagi dan petang
Tiada Tuhan melainkan Allah
Dan tidak ada yang kami sembah kecuali hanya Allah
Dengan ikhlas kami beragama kepadaNya
Walau orang-orang kafir membenci
Tidak ada Tuhan melainkan Allah sendiriNya
Benar janjiNya, dan Dia menolong akan hambaNya
Dan Dia mengusir musuh NabiNya dengan sendiriNya
Tiada Tuhan melainkan Allah
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Dan bagiNya segala puji.
Telah tiba detik kemenangan, hari di mana umat Islam seluruh dunia bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semua orang bergembira, keceriaan tergambar di setiap wajah. Akan tetapi, marilah kita merenung sejenak, apakah definisi Aidilfitri untuk kita? Adakah ia hari untuk kita memakai baju baru yang dikirimkan ibu, atau hari untuk menghadiri open house anjuran rakan-rakan? Adakah Aidilfitri satu tanda kemenangan umat Islam berjaya menahan lapar dan dahaga setelah sebulan berpuasa atau kemenangan setelah berjaya mentarbiyah diri sepanjang Ramadhan? Marilah kita jadikan Aidilfitri sebagai hari untuk kita bersama-sama memuhasabah diri dengan mengingati Allah, dan merefleksi segala amalan kita semasa Ramadhan yang telah lalu. Adakah kita benar-benar telah mentarbiyah diri semasa Ramadhan?
Disamping kita bergembira menyambut hari yang istimewa ini, marilah kita memuhasabah diri untuk menaikkan kembali semangat kita untuk terus berjuang.
Masihkah kita ingat
Dahulu sewaktu kita sendiri
Dahulu sewaktu mata masih terpejam
Dahulu sewaktu telinga masih tertutup
Dahulu sewaktu lidah masih kelu
Kita meraba-raba mencari
Cahaya datang melayang
Kebenaran memunculkan diri
Hidayah datang mengetuk perasaan
Apabila kesedaran tiba
Kita bersama mereka
Kita berusaha
Kita menempuh segala onak duri
Kita bangun apabila jatuh
Tapi apa yang terjadi
Apabila tumpuan mula berubah
Apabila hasil tidak menjadi
Kita salahkan diri
Kita berputus asa
Adakah sekarang kita penat
Adakah masih tidak cukup segala nikmat
Adakah kita lupa apabila
Allah mempersatukan hati-hati kita
Sedangkan kita berada di jurang pintu neraka
Berusahalah wahai daie-daie
Bangunlah wahai pendakwah
Bangkitlah wahai insan kamil
Jika iman masih tebal di dadamu
Jika neraca Allah masih menjadi peganganmu
Janganlah kita berputus asa
Untuk mengejar mardhatillah
Al Anfal 8:65
Wahai Nabi (Muhammad)! Kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, karena orang-orang kafir itu adalah kaum yang tidak mengerti.Jika kita lihat kisah para sahabat, ketika Amru Ibn Aash memimpin tentera Islam untuk memasuki negeri Mesir yang pada ketika itu diduduki oleh tentera Rom, beliau meminta bantuan bala tentera sebanyak empat ribu daripada Amirul Mukminin, Umar Al-Khattab untuk memperkuat pasukan. Umar RA mengirim empat orang komandan dan ia juga menulis surat yang isinya : Aku mengirim empat orang sahabat yang terkemuka dan masing-masing bernilai seribu orang.
Tahukah anda siapa empat orang komandan itu? Mereka adalah Al Miqdad Ibn Aswaad,
Muhammad Ibn Musa'lamah, Zubair Bin Al Awwam, dan Ubaid Bin Samid. Ketika menghadapi benteng Babylon, kaum muslimin sukar membuka dan menguasainya. Azzubair RA memanjat dinding benteng dengan tangga lalu berseru "Allahu Akbar" dan disambut dengan kalimat tahuid oleh pasukan yang berada diluar benteng. Hal ini membuat pasukan musuh gentar, panik dan meninggalkan pos-pos pertahanan mereka, para sahabat ini beserta tentera Islam yang lain bergegas membuka pintu gerbang dan memasuki kota, maka tercapailah kemenangan yang gilang gemilang pada kaum muslimin.
Tidakkah kita mahu menjadi seperti para sahabat ini, seorang individu yang bersamaan dengan seribu orang pejuang. Para pejuang yang membenarkan kalimah tauhid dengan sebenar-benarnya. Marilah kita berusaha untuk mencapai kemenangan yang agung seperti firman Allah dalam surah Al-Buruj:
Al-Buruj 85:11
Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, itulah kemenangan yang agung.Noor Ruzaini Adam
Pen. Setiausaha IsmaNZ 2010.
0 comments:
Post a Comment