9.01.2010

Apa Lailatul Qadar bagiku?

Pada suatu petang, di kala umat Islam seluruh dunia sudah mula menghitung hari untuk menyambut kedatangan bulan kemenangan, Syawal, terdapat dua orang muslimah sedang berbual-bual sambil menyediakan juadah berbuka di sebuah rumah di Wellington. Banyak yang mereka bincangkan daripada berkaitan dengan assignments, shopping, puasa dan akhirnya mengenai persiapan raya yang bakal tiba lagi beberapa hari. Ikuti dialog antara Fatimah dan Asma.

Fatimah: Eh tak sangka kan, lagi beberapa hari saja lagi, dah nak raya. Hurm...lagi 10 hari je.

Asma: A’ahlah. Terasa cepat sangat Ramadhan ini berlalu. Rupa-rupanya dah masuk fasa ketiga Ramadhan. Sedihnya.

Fatimah: Sedih? Kenapa pulak awak sedih? Patutnya sekarang ini kita kena gembira tau. Wah, excitednya saya nak beraya, first time beraya di perantauan lah katakan.Hehe. Nak buat kuih raya lah. Agaknya macam manalah perasaannya ye?

Asma: Memanglah kita sepatutnya gembira, tapi sebenarnya kita perlu juga ada perasaan sedih.

Fatimah: Kenapa? Sebab kita jauh dari keluarga? Ala, awak jangan risaulah. Saya kan ada. Housemates kita, budak-budak batch kita, seniors kan ada. Saya dengar ramai juga orang-orang Malaysia yang tinggal kat Wellington ini. Pasti meriah lah. Awak jangan sedih-sedih ya.

Asma: Bukan sebab itu saya sedih. Saya sedih sebab tak lama lagi Ramadhan dah habis. Itu tandanya berakhirlah bulan yang penuh dengan keberkatan dan syafaat. Tanda berakhirnya tempoh syaitan diikat dari menggoda kita.

Fatimah: Oh, betul juga kata awak itu. (Insaf).Tiba-tiba saya teringat satu surah dalam al-Quran, surah Al-Qadr yang ada menyebut mengenai lailatul Qadar. Eh maknanya kita sekarang berada dalam lingkungan 10 malam terakhirlah ye?

Asma: Ya. Saya cuma takut saya tergolong dalam golongan yang diriwayatkan dalam HR Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban, di mana Nabi Muhammad s.a.w bersabda “ Jibril datang kepadaku dan berkata “Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis, dan ia tidak mendapat sebarang keampunan, maka jika ia mati, ia masuk neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan, Amin! Aku pun mengatakan Amin!”. Huhu. Harapnya kita tidaklah menjadi orang-orang yang rugi.

Fatimah: Yalah. Tiba-tiba saya rasa bersemangat pula untuk meningkatkan lagi amal ibadah di saat-saat akhir Ramadhan. Tapi saya selalu tak pasti apa yang saya boleh lakukan selain membaca al-Quran dan solat terawih.

Asma: Sebenarnya sebagai pelajar, lebih-lebih lagi ketika mid-term break macam ini, sebenarnya beri kita kelebihan tau untuk bangun malam, bagus untuk kita yang nak memburu lailatul Qadar. Hihihi

Fatimah: Macam mana caranya? Takkan nak pergi masjid pagi-pagi buta? Dahlah jauh, sejuk pula tu. Ish, susahnya. Tak logik lah.

Asma: Tidak semestinya dilakukan di masjid, unless kalau awak nak beriktikaf, tapi memandangkan macam kurang praktikal bagi kita, boleh sahaja kita beribadat di rumah, di bilik sendiri. Kita boleh bangun malam, around pukul 3.30 pagi atau 4 pagi. Bangun dari tidur, ambil wuduk dan buatlah solat tahajud, sekurang-kurangnya 2 rakaat.

Fatimah: Oh ya? Nampak macam susah, tapi tak impossible kan? Saya nak cuba lah buat malam ini. Apa lagi yang boleh kita buat selain solat tahajud?

Asma: Banyak sangat. Antara kelebihan solat sunat tahajud ialah salah satu sunnat muakkad iaitu sangat-sangat dituntut dalam Islam. Mengikut Sunnah Rasulullah,baginda melakukan solat tahajud sebanyak 11 rakaat (Hadis Riwayat Bukhari). Tapi jika awak tak mampu, buatlah setakat yang terdaya. Kita juga boleh berzikir, bertasbih, beristighfar. Apabila kita berzikir dan bertasbih, lebih baik kita lakukan dengan setulus hati dan ikhlas.

Fatimah: Oh macam mana itu? Saya nih kalau berzikir pun selepas solat saja. Selalu lupa untuk berzikir pada waktu-waktu lain.

Asma: Betul tu. Kita tak menjadikan zikir dan tasbih itu sebagai amalan. Mungkin sebab kita tidak memahami dengan mendalam maksud zikir. Contohnya Allahuakbar, maksudnya Allah Maha Besar. Kita sepatutnya menjiwai zikir kita dengan meletakkan Allah di atas segala-galanya di dunia ini, menjadikan Allah sebagai keutamaan dalam hidup kita di dunia ini. Jadi, jom kita banyakkan zikir daripada menyanyi lagu yang tidak berfaedah itu.

Fatimah: Oh betul tu. Hurm..kalau saya nak berdoa. Ada doa spesifik ke?

Asma: Ha lagi satu kita sangat-sangat digalakkan untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh. Salah satu doa yang boleh diamalkan sepanjang bulan Ramadhan ialah “Allahumma innaka afuwwun, karimun, tuhibbu’l-afwa, fa’fu anni.” Yang bermaksud, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan suka kepada keampunan, maka ampunilah aku.

Fatimah: Oh, jadi saya kena sebut doa tuh je ke? Tak boleh ke kalau saya nak berdoa benda lain juga?

Asma: Eh takdelah. Itu salah satu doa yang disuruh oleh Rasulullah saw. Tapi kalau awak nak berdoa untuk ibu bapa, keluarga, kawan-kawan, cikgu-cikgu, pensyarah, jiran- jiran, serta saudara-saudara kita di Palestin, Pakistan, Afghanistan, Malaysia, India, Indonesia, hatta satu dunia pun boleh. Itu lagi bagus dan amat digalakkan. Boleh berdoa untuk cemerlang dunia dan akhirat, mendapat ganjaran syurga serta dapat jodoh yang baik juga tau? Hehehe

Fatimah: Haha. Baiklah, insya Allah saya akan amalkan selepas ini. Oh, jadi, saya boleh lakukan solat sunat tahajud, bertasbih, berdoa dan apa lagi ya?

Asma: Sebelum itu, untuk berdoa, ada adab-adabnya. Dalam surah Al-A’raf, ayat 55, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”. Yang penting, niat berdoa itu kena ikhlas. Ha berbalik kepada soalan awak tadi itu, awak boleh juga membaca al-Quran dan maksudnya sekali. Ini supaya kita jadi lagi terkesan dengan bacaan kita. Perempuan yang uzur pun boleh lakukannya dengan mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran, jangan jadikan “cuti” yang dianugerahkan oleh Allah disia-siakan macam itu sahaja. Semua orang pun nak dapat pahala kan?

Fatimah: Betul tu. Dulu saya selalu pikir, bila uzur saja, tidak boleh beribadat. Ish, jahil sungguh saya dulu. Terima kasih Asma ingatkan saya.

Asma: Saya pun sama juga macam awak. Masih mencari ilmu agama dan cuba memahaminya. Saya tidak mahu dipandang sebagai Muslim hanya pada nama. Lagi pun, sayang kalau ibadah puasa kita tidak dipandang oleh Allah kerana kurangnya ibadah sunat lain. Sebab itulah pentingnya kita untuk muhasabah akan diri kita. Awak percaya tak kalau saya katakan waktu yang paling sesuai untuk muhasabah atau refleks diri adalah pada tengah-tengah malam ketika semua orang tidur?

Fatimah: Saya pun rasa macam itu. Sebab suasana waktu itu tenang dan sunyi tanpa ada gangguan kan?

Asma: Ha’ah. Pada waktu itulah, sangat sesuai untuk kita meluahkan apa-apa jua perasaan dan mengadu kepada Allah tentang diri kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan terdapat dalam satu hadis riwayat Muslim di mana, Rasulullah saw bersabda Allah akan turun ke langit dunia pada dua pertiga malam untuk mengampunkan hamba-hambaNya yang memohon keampunan, memakbulkan doa hambaNya yang sedang berdoa serta memperkenankan permintaan hambaNya yang mempunyai hajat sehingga terbit fajar. Beruntungnya kepada sesiapa yang mendapat peluang berharga ini.

Fatimah: Saya rasa terharu dan hiba. Allah itu sifatnya Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Allah tetap mengampunkan hamba-hambaNya walaupun kebanyakkannya lalai dan terlalu mengejar dunia, contohnya kita. Sudah diberi banyak anugerah seperti dapat merasai pengalaman belajar di luar negara, cukup makanan dan pakaian serta sihat tubuh badan, tapi amat susah untuk beribadah. Puasa pun tidak ikhlas, sebab itulah cepat lapar agaknya. (sambil mengesat air mata yang meleleh di pipi)

Asma: Alhamdulillah, itu maknanya kita masih diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah. Maka janganlah kita sia-siakan peluang ini. Bukan senang tau. Lagipun kita tidak boleh jamin kita akan bertemu dengan Ramadhan akan datang. Boleh jadi ini Ramadhan yang terakhir buat kita. Jadi kenalah bekerja kuat sedikit. Mudah-mudahan syurga milik kita. Amin.

Fatimah: Amin. Baiklah, selepas ini saya pun nak berlumba-lumbalah tingkatkan ibadat kepada Allah.

Asma: Yosh! Kita boleh lakukannya. Eh asyik sangat bersembang ini, marilah kita tadarus Quran sementara nak tunggu waktu berbuka.

-Lidya Alya-

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com