11.04.2009

Semusim...Permainan dan Perjuangan

Bulldozer rejim Zionis roboh rumah penduduk Jerusalem

Rabu , 04/11/2009 – Bulldozer rejim Zionis Isnin lalu telah meranapkan sebuah rumah penduduk Palestin Jerusalam di kawasan Silwan yang terletak selatan dari Masjid Al-Aqsa di Jerusalam.Sumber tempatan menyatakan majlis bandaran IOA tersebut merobohkan rumah tersebut atas dasar dibina tanpa permit. Majlis bandaran yang dikuasai pihak Yahudi enggan mengeluarkan permit pembinaan kepada rakyat palestin walaupun di bandar mereka sendiri, tetapi mengalukan pendatang Yahudi untuk menetap sesuka hati.Menurut sumber, pasukan dari majlis bandaran tersebut diiringi oleh sejumlah besar pihak tentera dan polis yang turut menutup seluruh kawasan tersebut bagi melindungi kerja-kerja pemusnahan.


-------------------------------------------------------------------------------------------------

Semusim...Permainan dan Perjuangan

Teringat zaman kecil-kecil dahulu…


Bila tiba musim main guli, semua ramai-ramai pakat main guli. Aku akan pulun* mengajak ayah pergi ke kedai untuk membeli guli untuk dipertaruhkan di medan bulat atas tanah. Sasaran kutuju, guli-guli kuperolehi. Setelah beberapa bulan, musim guli pun tamat. Guli-guli yang beraneka warna itu aku letak bersepah-sepah. Akhirnya emak juga yang menyimpannya untuk aku kerana dia tahu, pada tahun depan musim guli akan tiba lagi dan aku akan kembali mencari guli-guliku untuk dipertaruhkan.

Masih teringat zaman kecil-kecil dahulu...
Bila tiba musim layang-layang, semua pakat main layang-layang. Aku akan pulun mengajak ayah pergi membeli layang-layang Doraemon kesukaanku yang berharga 50 sen. Bila pulang, benang aku simpul sebagai layar, tali aku lempar sebagai pelayang. Layang-layang terbang tinggi, aku pun gembira sakan. Bila layang-layang tersangkut di pokok, selipar aku lempar tinggi ke sasaran namun hampa. Layang-layang seakan enggan kembali menjejak tanah. Mujur selipar tidak tersangkut. Hampa... aku pulang ke rumah, menyuruh abang membuat layang-layang daripada surat khabar. Setelah siap, aku terbangkannya ke langit dan kembali gembira bermain layang-layang. Setelah beberapa bulan, musin daun-daun getah dan angin pun tamat menandakan musim layang-layang pun juga tamat. Benang aku lempar jauh, layang-layang aku biar tersangkut di atas pokok. Akhirnya emak juga yang menyimpan semuanya untuk aku kerana dia tahu, pada tahun depan musim itu akan berkunjung lagi dan aku pasti tercari-cari sang benang dan layang-layang.

Masih segar ingatanku beberapa bulan yang lalu…


Saat Palestin dibedil Israel, demonstrasi memenuhi jalanan, amarah memuncak ke langit, doa’ berutus tidak putus-putus ke Sidratul Muntaha, tabung bergolek-golek mencari derma. Aku suka. Aku gembira melihat suasana kaum muslimin. Aku lancarkan program mencari derma, aku layarkan kertas-kertas bernota sengsara, aku membidas musuh-musuh bertulang dusta. Aku bersyukur, aku redha, aku gembira.

Masih segar ingatanku lewat tengah hari yang baru sahaja berlalu...

Tiada lagi yang semangat bercerita tentang palestin. tiada lagi berita-berita terkini yang dulu selalu diperkatakan. Cubaan membeli barangan beruntungkan zionis mula berleluasa. Boikot hanya tinggal kenangan. Musim Palestin makin menghampiri waktu surutnya. Namun, aku bukan lagi kanak-kanak hidup bersulam gembira. Aku dewasa beramanahkan Islam yang mulia. Islam dan Palestin bukan bermusim jihadnya tetapi perlu disemat dalam jiwa supaya sentiasa hidup akan semangat perjuangannya. Emak tiada di sini, tiada di sisi untuk mengutip sisa-sisa semangatku tetapi aku sendiri harus menyusuri jalan-NYA. Aku tidak boleh lagi mengikut musim seperti musim kanak-kanakku bermain guli, bermain layang-layang, terjun sungai dan main masak-masak.

Perjuangan ISLAM tiada surut musimnya seperti permainan kanak-kanak dahulu. Ia sentiasa membara, sentiasa bergelora.








0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com