3.15.2010

Rehlah ‘Ahlan Wasahlan’ Wellington 2010

Alhamdulillah, program sambutan junior baru di Wellington telah diadakan pada hari Ahad, 7 Mac 2010 yang lalu bertempat di kawasan lapang berhampiran Duck’s Pond, Botanical Garden. Program dimulakan agak lewat dari perancangan, iaitu lebih kurang pada pukul 1045am, dan berjalan lancar dengan penglibatan dari adik-adik yang begitu memberangsangkan. Pada mulanya terdapat sedikit kekeliruan berkenaan tempat yang akan digunakan (rancangan awal di Rose Garden), kerana terdapat pertembungan dengan program yang dianjurkan oleh Wellington City Council iaitu Children’s Day di tempat yang sama. Matahari yang bersinar telah menyerikan lagi suasana pada hujung minggu itu. Kehadiran 20 orang junior baru yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengajian telah disambut mesra oleh 7 orang senior yang telah mengaturkan pelbagai aktiviti dan sesi permainan yang menyeronokkan untuk mereka semua.


Program pada hari itu dimulakan dengan sesi perkenalan diikuti dengan beberapa aktiviti untuk mentautkan lagi ukhuwwah di antara peserta. Untuk sesi pertama, para peserta dikehendaki membuat satu barisan berdasarkan susunan nama masing-masing dalam keadaan mata tertutup. Seterusnya susunan kedua pula dibuat berdasarkan ketinggian peserta. Pelbagai telatah lucu dan menarik dapat dirakamkan ketika permainan ini berlangsung. Permainan seterusnya mengkehendaki para peserta membuat satu bulatan dan menyebut nama berserta trademark masing-masing. Pelbagai aksi menarik dan bakat yang terserlah di kalangan para adik-adik dapat dilihat. Permainan terakhir pada hari itu adalah sesi membina ‘raksasa’ yang menepati ciri-ciri pelik yang telah disebutkan oleh penganjur. Tidak sangka rupanya adik-adik ini sangat kreatif dan kelakar semuanya.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing. Setelah itu, satu sesi perkongsian telah diadakan dan pengisian ‘Merajut Cinta dalam Ukhuwwah’ telah disampaikan oleh saudari Aisyah dan mendapat maklumbalas yang sangat menggalakkan dari adik-adik. Akhir sekali, ketika sesi penutup dan menjamu selera, video perancangan aktiviti untuk tahun ini juga ditayangkan untuk memberi gambaran kepada adik-adik tentang aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh IsmaNz-Wellington. Keseronokan itu bertambah dengan kunjungan adik-adik ke rumah akhawat pada lewat petang hari itu. Semoga hati-hati ini bertaut kerana Allah SWT dan membawa kita lebih dekat pada Nya.


"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada',tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:"Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih."

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com