3.20.2010

Antara Ayyash dan Uqbah

Pengaruh Abu Jahal

Pernah dengar mengenai Uqbah bin Abi Mui’th seorang pemuka Quraisy yang ingin memeluk Islam? Uqbah ini sangat berkawan rapat dengan Abu Jahal. Uqbah pada mulanya pernah ingin mengikut naluri fitrahnya ke arah kebenaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Ketika itu Abu Jahal berada di luar kota dan Uqbah pergi menemui Rasulullah s.a.w. Setelah mendengar ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w, Baginda menawarkan Islam kepadanya. Uqbah menerimanya tetapi meminta tangguh sehingga besok untuk lebih memikirkannya.

Sayangnya Abu Jahal telah kembali dan Uqbah terus menyatakan hasratnya itu kepada Abu Jahal, “Besok, aku akan menemui Muhammad dan menyatakan keislamanku.” Abu Jahal berang dan menyanggah, “Demi persahabatan kita, seharusnya engkau menemuinya untuk meludahi mukanya!”Uqbah terus berlalu meninggalkan Abu Jahal.

Besoknya Uqbah tetap menemui Nabi namun diekori oleh Abu Jahal. Di waktu Uqbah ingin melafazkan syahadah dan menyatakan keislamannya, Abu Jahal muncul dan terus memujuknya, “Wahai sahabatku, agamamu atau sahabatmu”
Akhirnya ternyata demi persahabatan Uqbah telah memilih kesesatan dan mengikut Abu Jahal. Malah selepas itu Uqbah menjadi orang kafir yang terlalu membenci Nabi. Tiada orang yang lebih berani menyakiti Nabi melainkan Uqbah sendiri. Pernah ketika Nabi sedang solat, Uqbah datang dari belakang dan menjerut leher Nabi dengan selendangnya. Jerutan yang kuat itu telah membuatkan Nabi jatuh tersungkur. Tidak cukup dengan itu suatu hari ketika Nabi sedang sujud Uqbah datang dengan membawa usus perut unta dan melemparkannya ke belakang Nabi. Baginda tidak boleh bangun sehingga datang puterinya Zainab menyingkirkan kotoran tersebut.

Kuasa Allah meliputi segalanya dan akibat memilih rakan yang sesat dan menyakiti kekasih Allah s..w.t, Uqbah mati dalam keadaan cukup terhina. Uqbah mati dalam kekafiran sewaktu perang Badar. Setelah mati, tubuhnya membengkak dan membusuk. Mayatnya tidak boleh dikuburkan bersama-sama dengan sahabat-sahabat kafirnya yang lain kerana baunya yang busuk menyengat. Mayatnya hanya ditimbun dengan tanah di tempat ia mati dalam keadaan yang amat buruk.

Pengaruh Umar

Pernah tak pula kita kenal siapa rakan baik Umar al-Khattab yang diajak hijrah bersama? Umar berkawan baik dengan Ayyash bin Abu Rabi’ah. Maka Umar mengajaknya hijrah ke Madinah bersama-sama. Di suku perjalanan datang seorang utusan ibu Ayyash mengkhabarkan perihal ibu Ayyash yang hampir meninggal dunia. Ibunya tidak bermaya kerana berjanji akan terus berdiri di terik panas matahari dan tidak akan mandi sehinggalah Ayyash kembali menemuinya. Maka bergoncanglah hati sahabat ini dan beliau merasa sangat gusar. Ayyash ingin berpatah balik dan pulang menemui ibunya. Umar tidak berdiam diri, lantas memujuk Ayyash untuk meneruskan hijrah dengan bersungguh-sungguh.

Namun disambut Ayassh dengan keluhan, “Ibuku”. Umar tidak berputus asa meyakinkannya dan berkata, “Ayyash, jika hari ini ibumu mampu berpanas di bawah terik matahari, tetapi esoknya ia belum tentu mampu. Jika hari ini ibumu berkeras untuk tidak mandi, maka ianya tidak akan lama. Nanti ia akan mandi jua kerana tidak tahan dengan tubuh badannya yang kotor. Jika sekarang ia tahan berpanas, besok ia akan mencari jua tempat berteduh. Namun Ayyash hanya menjawab, “Umar, ibuku.”
Umar seraya mengingatkan, “Ayyash, jika engkau berkeras ingin kembali, engkau akan mendapat fitnah kelak.” Ayyash tetap berkata, “Ibuku,
Umar.” Umar sangat faham, dalam berkawan kita perlu berkorban. Waktu itu Umar sudah merasa rakannya tidak mampu dipujuk dan dipengaruhi walaupun hampir memaksanya. Lantas Umar turun dari kenderaannya seraya menawarkannya kepada sahabatnya itu, “Wahai Ayyash, jika kau tetap berkeras untuk kembali, ambillah kenderaan aku ini. Semoga kenderaan ini akan mengingatkanmu ketika engkau ingin kembali padaku suatu hari nanti.”

Akhirnya Ayyash berpatah balik ke Mekah dan memang benar ia disiksa dan difitnah sehingga hampir menggoyahkan keimanannya. Malah ia telah dihina oleh Abu Jahal sebaik sahaja memasuki kota Mekah, meskipun sebelum itu Abu Jahal menumpang kenderaannya. Namun kenderaan itu sering mengingatkan Ayyash pada Umar dan terus mengukuhkan keimanannya. Akhirnya satu hari Ayyash kembali berhijrah meninggalkan keluarganya dengan berkah dan keikhlasan sahabatnya, Umar.

Jadi dalam hidup ini adakah kita ingin mencari sahabat semulia Umar atau sehina Abu Jahal?

Adakah kita ingin tersangat bertuah seperti Ayyash atau tersangat rugi seperti Uqbah?

Adakah terhadap rakan, kita mampu memberi pengaruh dan beraura baik sekuat Umar atau beraura buruk sehina Abu Jahal?

Adakah kita seperti Ayyash yang cenderung kepada rakan yang baik atau seperti Uqbah yang cenderung kepada rakan yang hanya membawa kepada kehinaan?

Untungnya Ayyash kerana kemurahan kawan dan malangnya Uqbah hanya kerana kejahilan kawan. Fikir-fikirkanlah.

1 comments:

ikh palmy said...

jzkk entry, nice!
bila sebut psl aura tu, teringat satu kata-kata.. berkawanlah dengan si penjual minyak wangi, nescaya kamu mendapat keharuman darinya, jika berkawan dengan tukang besi,nescaya kamu mendapat kotoran dari percikan api..

p/s : mcm xbpe nice je pic tu

 

Blog Template by YummyLolly.com