3.25.2010

Movie Morning!

Kami warga SOI ingin menjemput adik-adik untuk sesi Movie Morning! (ala-ala Movie Night tapi buat siang) :P

Butir-butir adalah seperti berikut:

Hari: Ahad, 28hb Mac 2010
Masa: 1030 am
Tempat: no 8, 142, Willis Village, Willis Street.
Filem: 'Sultan Muhammad Al-Fateh'


HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)



3.23.2010

Makanan tambahan dan wanita

Sebenarnya terlalu banyak produk-produk kesihatan yang menawarkan makanan kesihatan kepada masyarakat Malaysia hari ini. Dengan mencanangkan berbagai-bagai kebaikan atau khasiat yang dapat diberikan kepada pelanggan-pelanggan yang membeli atau menggunakannya, ramai yang tertipu atau mengharapkan kesan serta khasiat segera apabila menggunakannya.

Golongan yang paling terkesan dengan iklan atau testimoni bagi sesuatu produk kesihatan adalah golongan wanita. Mereka sanggup membeli dengan harga yang mahal semata-mata ingin mendapatkan khasiat yang telah dicanang-canangkan itu.

Apakah definisi makanan tambahan?

Makanan tambahan menurut USFDA ialah makanan kesihatan yang mengandungi vitamin dan mineral dalam bentuk pil, cecair atau minuman herba. Mengambil makanan tambahan tidaklah salah terutama untuk wanita yang menghadapi masalah haid yang terlalu banyak, mengandung atau bersalin dan usia lanjut. Anda perlu berhati-hati untuk memilih jenis produk makanan kesihatan. Pilihlah yang terbaik dan telah terbukti keberkesanannya kepada kesihatan penggunanya.

Contoh 1

Beberapa panduan diperlukan untuk mereka yang gemar mencuba produk makanan tambahan yang terdapat di pasaran.

a) Mengapakah anda perlu mengambil makanan tambahan?

b) Tahukah anda, apa yang terkandung dalam makanan tambahan itu?

c) Adakah produk makanan tambahan ini berisiko atau mengandungi kesan sampingan pada diri anda?

d) Apakah jenis-jenis makanan tambahan yang terbukti baik untuk kesihatan wanita?

Wanita yang mengalami haid yang terlalu banyak setiap bulan memang perlu pada makanan tambahan iaitu zat besi. (ferrus sulphate/ ferrus fumarate) .Oleh itu, mengambil makanan tambahan yang mengandungi zat besi amat perlu untuk mengelakkan kepucatan yang keterlaluan. (anaemia)Biasanya doktor yang merawat akan memberi preskripsi nya untuk pesakit. Walau bagaimanapun, anda boleh mendapati banyak produk-produk yang mengandungi zat besi dijual di farmasi.

Wanita sihat yang mengambil makanan seimbang tidak perlu pada makanan tambahan. Kandungan sesuatu produk kesihatan perlu diteliti oleh anda untuk memastikan tiada mengandungi bahan yang tidak halal atau melanggar syara’ dan tidak memberi kesan sampingan kepada penggunanya. Terdapat produk makanan kesihatan yang terbukti memberi kesan sampingan kepada pelanggan seperti spirulina kerana diketahui mengganggu pembekuan darah dalam badan.

Oleh itu, pesakit yang mengambil spirulina diarahkan oleh doktor menghentikan pengambilannya sebelum menjalani pembedahan.Akhirnya, marilah kita fokus pada makanan tambahan yang telah terbukti menjadi penawar dan penyembuh serta merupakan sunnah Nabi s.a.w.

1) Air zam-zam

Dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“sebaik-baik air yang terdapat dimuka bumi adalah zam-zam. Didalamnya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar penyakit”

Ibnu Qayyum berkata, ‘ketika berada di Mekah aku mengalami sakit dan tidak ada tabib dan ubat (yang dapat menyembuhkannya). Aku pun mengubatinya dengan meminum air zam-zam dan membacakannya berulang kali (dengan al-Fatihah). Kemudian aku meminumnya. Aku mendapatkan kesembuhan yang sempurna. Aku pun menjadikannya untuk bersandar ketika mengalami rasa sakit, aku benar banyak mendapat manfaat daripadanya.

2) Khasiat buah kurma

Memakan kurma merupakan satu sunnah Nabi s.a.w. Setiap perbuatan Nabi s.a.w yang diikuti akan mendapat berkat dan ternyata sangat bermanfaat kepada manusia. Kandungannya yang tinggi khasiatnya serta kaya dengan protein atau serat , vitamin A dan C serta zat galian atau mineral seperti zat besi, kalsium, sodium dan potassium.

Protein 2%

Serat 4%

Gula 50% – 57%

Kulit kurma baik untuk mencegah barah usus besar kerana boleh melawaskan pembuangan air besar.

Firman Allah s.w.t:

“lalu dengan (air) itu, Kami tumbuhkan untukmu kebun-kebun kurma dan anggur, disana kamu memperoleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian dari (buah-buahan) itu kamu makan.” Surah Al-Mukminun, ayat 19

Diriwayatkan dari Aisyah r.a yang menjelaskan kurma mengandungi ubat. Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari dari terkena racun yang dimakan.

Dikisahkan sewaktu Maryam melahirkan Nabi Isa a.s dibawah pokok kurma. Telah datang malaikat Jibril a.s menyuruh Maryam menggegarkan pohon kurma. Lantas memakannya. dengan izin Allah, ia memudahkan kelahiran Nabi Isa a.s.

Seruan pada umat islam supaya memakan kurma sebagai menggantikan makanan yang berkolestrol tinggi atau berkarbohidrat tinggi.

3) Khasiat Habbatus sauda’

a) Ciri kandungannya boleh meningkatkan imuniti.

b) Mengandungi omega 3,6,9 – nutrisi untuk sel otak untuk meningkatkan daya ingatan atau kecergasan.

c) Memperbanyakkan susu ibu.

4) Khasiat madu lebah

Firman Allah s.w.t:

“Dan tuhanmu mengilhamkan kepada lebah. Buatlah sarang di gunung-gunung, di pohon-pohon kayu dan ditempat-tempat yang dibikin manusia. Surah An-Nahl ayat 68-69

Makanlah dari segala (macam) buah-buahan lalu tempuhlah jalan tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, didalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia……….”

Dari sudut saintifik, madu didapati mengandungi vitamin B1,B2,B3, vitamin C dan B6 (kandungan vitamin berubah mengikut kualiti madu bunga yang dihisap oleh lebah. Ia juga mengandungi mineral seperti tembaga, zink dalam jumlah yang kecil, magnesium, potassium, klorin, sulfur, zat besi dan phosphate. Ia juga kaya dengan anti-oksidan yang boleh mengelakkan daripada menghidap penyakit kanser.

Walau apa pun makanan tambahan yang kita ambil, yang utama untuk ditekankan ialah pergantungan kita untuk lebih sihat dan cergas adalah hanya kepada Allah s.w.t dan mendapat keberkatan kerana mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

dipetik dari: http://wanitaisma2009.wordpress.com

3.20.2010

Antara Ayyash dan Uqbah

Pengaruh Abu Jahal

Pernah dengar mengenai Uqbah bin Abi Mui’th seorang pemuka Quraisy yang ingin memeluk Islam? Uqbah ini sangat berkawan rapat dengan Abu Jahal. Uqbah pada mulanya pernah ingin mengikut naluri fitrahnya ke arah kebenaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Ketika itu Abu Jahal berada di luar kota dan Uqbah pergi menemui Rasulullah s.a.w. Setelah mendengar ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w, Baginda menawarkan Islam kepadanya. Uqbah menerimanya tetapi meminta tangguh sehingga besok untuk lebih memikirkannya.

Sayangnya Abu Jahal telah kembali dan Uqbah terus menyatakan hasratnya itu kepada Abu Jahal, “Besok, aku akan menemui Muhammad dan menyatakan keislamanku.” Abu Jahal berang dan menyanggah, “Demi persahabatan kita, seharusnya engkau menemuinya untuk meludahi mukanya!”Uqbah terus berlalu meninggalkan Abu Jahal.

Besoknya Uqbah tetap menemui Nabi namun diekori oleh Abu Jahal. Di waktu Uqbah ingin melafazkan syahadah dan menyatakan keislamannya, Abu Jahal muncul dan terus memujuknya, “Wahai sahabatku, agamamu atau sahabatmu”
Akhirnya ternyata demi persahabatan Uqbah telah memilih kesesatan dan mengikut Abu Jahal. Malah selepas itu Uqbah menjadi orang kafir yang terlalu membenci Nabi. Tiada orang yang lebih berani menyakiti Nabi melainkan Uqbah sendiri. Pernah ketika Nabi sedang solat, Uqbah datang dari belakang dan menjerut leher Nabi dengan selendangnya. Jerutan yang kuat itu telah membuatkan Nabi jatuh tersungkur. Tidak cukup dengan itu suatu hari ketika Nabi sedang sujud Uqbah datang dengan membawa usus perut unta dan melemparkannya ke belakang Nabi. Baginda tidak boleh bangun sehingga datang puterinya Zainab menyingkirkan kotoran tersebut.

Kuasa Allah meliputi segalanya dan akibat memilih rakan yang sesat dan menyakiti kekasih Allah s..w.t, Uqbah mati dalam keadaan cukup terhina. Uqbah mati dalam kekafiran sewaktu perang Badar. Setelah mati, tubuhnya membengkak dan membusuk. Mayatnya tidak boleh dikuburkan bersama-sama dengan sahabat-sahabat kafirnya yang lain kerana baunya yang busuk menyengat. Mayatnya hanya ditimbun dengan tanah di tempat ia mati dalam keadaan yang amat buruk.

Pengaruh Umar

Pernah tak pula kita kenal siapa rakan baik Umar al-Khattab yang diajak hijrah bersama? Umar berkawan baik dengan Ayyash bin Abu Rabi’ah. Maka Umar mengajaknya hijrah ke Madinah bersama-sama. Di suku perjalanan datang seorang utusan ibu Ayyash mengkhabarkan perihal ibu Ayyash yang hampir meninggal dunia. Ibunya tidak bermaya kerana berjanji akan terus berdiri di terik panas matahari dan tidak akan mandi sehinggalah Ayyash kembali menemuinya. Maka bergoncanglah hati sahabat ini dan beliau merasa sangat gusar. Ayyash ingin berpatah balik dan pulang menemui ibunya. Umar tidak berdiam diri, lantas memujuk Ayyash untuk meneruskan hijrah dengan bersungguh-sungguh.

Namun disambut Ayassh dengan keluhan, “Ibuku”. Umar tidak berputus asa meyakinkannya dan berkata, “Ayyash, jika hari ini ibumu mampu berpanas di bawah terik matahari, tetapi esoknya ia belum tentu mampu. Jika hari ini ibumu berkeras untuk tidak mandi, maka ianya tidak akan lama. Nanti ia akan mandi jua kerana tidak tahan dengan tubuh badannya yang kotor. Jika sekarang ia tahan berpanas, besok ia akan mencari jua tempat berteduh. Namun Ayyash hanya menjawab, “Umar, ibuku.”
Umar seraya mengingatkan, “Ayyash, jika engkau berkeras ingin kembali, engkau akan mendapat fitnah kelak.” Ayyash tetap berkata, “Ibuku,
Umar.” Umar sangat faham, dalam berkawan kita perlu berkorban. Waktu itu Umar sudah merasa rakannya tidak mampu dipujuk dan dipengaruhi walaupun hampir memaksanya. Lantas Umar turun dari kenderaannya seraya menawarkannya kepada sahabatnya itu, “Wahai Ayyash, jika kau tetap berkeras untuk kembali, ambillah kenderaan aku ini. Semoga kenderaan ini akan mengingatkanmu ketika engkau ingin kembali padaku suatu hari nanti.”

Akhirnya Ayyash berpatah balik ke Mekah dan memang benar ia disiksa dan difitnah sehingga hampir menggoyahkan keimanannya. Malah ia telah dihina oleh Abu Jahal sebaik sahaja memasuki kota Mekah, meskipun sebelum itu Abu Jahal menumpang kenderaannya. Namun kenderaan itu sering mengingatkan Ayyash pada Umar dan terus mengukuhkan keimanannya. Akhirnya satu hari Ayyash kembali berhijrah meninggalkan keluarganya dengan berkah dan keikhlasan sahabatnya, Umar.

Jadi dalam hidup ini adakah kita ingin mencari sahabat semulia Umar atau sehina Abu Jahal?

Adakah kita ingin tersangat bertuah seperti Ayyash atau tersangat rugi seperti Uqbah?

Adakah terhadap rakan, kita mampu memberi pengaruh dan beraura baik sekuat Umar atau beraura buruk sehina Abu Jahal?

Adakah kita seperti Ayyash yang cenderung kepada rakan yang baik atau seperti Uqbah yang cenderung kepada rakan yang hanya membawa kepada kehinaan?

Untungnya Ayyash kerana kemurahan kawan dan malangnya Uqbah hanya kerana kejahilan kawan. Fikir-fikirkanlah.

3.16.2010

Autumn Trip is Coming!!


Mari kita meriahkan cuti Easter kali ini dengan menyertai Autumn Roadtrip 2010!! Roadtrip North Island kali ini menyaksikan kehadiran peserta-peserta dari tiga bandar welly,auckland dan palmy bertemu di Rotorua dan Taupo. Autumn trip ini adalah untuk adik-adik tahun pertama.Dengan pemandangan indah penyejuk mata dan peluang bertemu dengan rakan-rakan baru, pastinya pengalaman menarik ini tidak akan dilepaskan! Tidak dilupakan, aktiviti-aktiviti menarik yang dirancang.

Butir-butiran adalah seperti berikut:

Tema: Berjaulah Membina Ukhuwah

Tarikh: 2-5 April 2010

Tempat Bertolak: Wellington

Tarikh tutup penyertaan: 22 Mac 2010, Isnin


Untuk sebarang pertanyaan dan mendaftar, anda boleh menghubungi:

Ruzaini Adam 021-0488229

Maklumat lanjut tentang kos bersih, kelengkapan yang perlu dibawa, butir-butir perjalanan dan penginapan, dan lain-lain maklumat akan dimaklumkan kemudian. Jangan ketinggalan dari peluang untuk bercuti melihat bumi New Zealand yang indah ini di sambil menimba pengalaman dan membina ukhuwah~

Jumpa di sana! (",)


3.15.2010

Rehlah ‘Ahlan Wasahlan’ Wellington 2010

Alhamdulillah, program sambutan junior baru di Wellington telah diadakan pada hari Ahad, 7 Mac 2010 yang lalu bertempat di kawasan lapang berhampiran Duck’s Pond, Botanical Garden. Program dimulakan agak lewat dari perancangan, iaitu lebih kurang pada pukul 1045am, dan berjalan lancar dengan penglibatan dari adik-adik yang begitu memberangsangkan. Pada mulanya terdapat sedikit kekeliruan berkenaan tempat yang akan digunakan (rancangan awal di Rose Garden), kerana terdapat pertembungan dengan program yang dianjurkan oleh Wellington City Council iaitu Children’s Day di tempat yang sama. Matahari yang bersinar telah menyerikan lagi suasana pada hujung minggu itu. Kehadiran 20 orang junior baru yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengajian telah disambut mesra oleh 7 orang senior yang telah mengaturkan pelbagai aktiviti dan sesi permainan yang menyeronokkan untuk mereka semua.


Program pada hari itu dimulakan dengan sesi perkenalan diikuti dengan beberapa aktiviti untuk mentautkan lagi ukhuwwah di antara peserta. Untuk sesi pertama, para peserta dikehendaki membuat satu barisan berdasarkan susunan nama masing-masing dalam keadaan mata tertutup. Seterusnya susunan kedua pula dibuat berdasarkan ketinggian peserta. Pelbagai telatah lucu dan menarik dapat dirakamkan ketika permainan ini berlangsung. Permainan seterusnya mengkehendaki para peserta membuat satu bulatan dan menyebut nama berserta trademark masing-masing. Pelbagai aksi menarik dan bakat yang terserlah di kalangan para adik-adik dapat dilihat. Permainan terakhir pada hari itu adalah sesi membina ‘raksasa’ yang menepati ciri-ciri pelik yang telah disebutkan oleh penganjur. Tidak sangka rupanya adik-adik ini sangat kreatif dan kelakar semuanya.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing. Setelah itu, satu sesi perkongsian telah diadakan dan pengisian ‘Merajut Cinta dalam Ukhuwwah’ telah disampaikan oleh saudari Aisyah dan mendapat maklumbalas yang sangat menggalakkan dari adik-adik. Akhir sekali, ketika sesi penutup dan menjamu selera, video perancangan aktiviti untuk tahun ini juga ditayangkan untuk memberi gambaran kepada adik-adik tentang aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh IsmaNz-Wellington. Keseronokan itu bertambah dengan kunjungan adik-adik ke rumah akhawat pada lewat petang hari itu. Semoga hati-hati ini bertaut kerana Allah SWT dan membawa kita lebih dekat pada Nya.


"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada',tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:"Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih."

 

Blog Template by YummyLolly.com