4.17.2010

Suka duka Jaulah Musim Luruh North Island


Jaulah Musim Luruh North Island 2010 telah diadakan buat julung-julung kalinya pada 2-6 April 2010. Program tersebut telah berjaya mengumpulkan seramai lebih kurang 50 orang peserta dari Auckland, Palmerston North dan Wellington di pekan Rotorua selama 2 hari 3 malam.

Perjalanan program di kepulauan Utara bermula sejak pagi 2 April 2010 di mana sebanyak sembilan buah kenderaan daripada ketiga-tiga lokaliti berkenaan meluncur menuju ke Rotorua seawal jam 10 pagi lagi. Walaupun mengalami sedikit kelewatan kerana keadaan trafik yang agak sesak, kesemua peserta selamat tiba di Kiwi Paka, kawasan penginapan dan program sejurus sebelum masuknya waktu Isya’ pada hari berkenaan.

Sepanjang tiga hari berprogram, para peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti kerohanian, fizikal dan pembinaan ukhuwah. Selain program solat berjemaah dan tazkirah Subuh dan Maghrib, para peserta dapat saling berkenalan dan mengeratkan silaturahim menerusi Ta’aruf Games yang ada. Walaupun baru pertama kali berjumpa, ia tidak menjadi penghalang bagi para peserta untuk saling mengenali dan bekerjasama dalam segala hal.

Pagi 3 April sudah tentunya menjadi hari yang ditunggu-tunggu oleh para peserta. Sementara peserta wanita menguji ketabahan jiwa masing-masing dengan permainan seperti Bungee, Swoop, Skyswing dan Horse Riding, peserta-peserta lelaki pula tidak kurang hebatnya dengan aktiviti-aktiviti seperti Mini Golf dan Luge. Daripada aktiviti-aktiviti ini, para peserta dididik dengan cara-cara berhibur yang dibenarkan oleh syara’ dan untuk mengambil pengajaran daripada aktiviti-aktiviti yang memerlukan kecekalan hati serta pergantungan secara total kepada Allah SWT.

Setelah selesai solat Subuh secara berjemaah serta sedikit tazkirah ringkas pada pagi 4 April, para peserta mula bergerak ke Palmerston North bagi merealisasikan Lunch@Palmy, sebuah program suai kenal antara para peserta Jaulah dan pelajar-pelajar Malaysia di Palmerston North. Di sepanjang perjalanan, para peserta sempat singgah di Huka Falls dan Lake Taupo bagi menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT dan juga sesi penggambaran berkumpulan. Keindahan dan kedamaian air yang membiru dapat jugalah diibaratkan dengan keindahan ukhuwah yang terjalin setibanya para peserta Jaulah di Palmerston North. Sambutan yang baik oleh wakil-wakil ISMA-NZ di Palmerston North, keramahan serta semangat kebersamaan yang terpancar di bumi Palmerston merupakan antara kenangan paling indah bagi semua peserta Jaulah ini. Setelah menjamu selera dan berta’aruf, para peserta Jaulah meneruskan perjalanan ke Wellington pula.




Perjalanan dari Palmerston North ke Wellington memakan masa selama 2 jam dan akhirnya para peserta dari Wellington selamat tiba di halaman rumah masing-masing pada jam 9.00 malam.

Bagi peserta dari Auckland pula, pengembaraan diteruskan pada 5 April apabila peserta lelaki yang menumpang di rumah Pn Ruzaini, salah seorang staf Malaysian Students Department (MSD) dan peserta perempuan yang berkampung di rumah wakil-wakil ISMA-NZ Wellington di Willis Village menziarahi rumah Pn Ruzaini dan Pn Siti Jalilah. Peluang yang ada dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina hubungan yang baik dengan MSD agar usaha-usaha ISMA-NZ dalam membina generasi harapan dapat difahami dan diterima oleh masyarakat amnya, dan masyarakat Malaysia di New Zealand umumnya.

Malam 6 April 2010 menandakan pengakhiran bagi Jaulah Musim Luruh North Island 2010. Empat buah kenderaan dari Auckland selamat tiba di perkarangan Huia Residence setelah menempuh perjalanan selama 12 jam dari Wellington pada jam 8.30 malam. Walaupun perjalanan yang ditempuh amat sukar, tetapi kesukaran itulah yang dapat mendidik para peserta supaya sentiasa berserah diri kepada Allah semata-mata, salah satu ciri individu Muslim yang diidam-idamkan.

Pihak penganjur dari ISMA-NZ Auckland, Palmerston North dan Wellington ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha menjayakan Jaulah Musim Luruh North Island ini. Bersyukur kami di atas segala nikmat dan peluang yang diberikan oleh Allah dalam mencapai objektif jaulah. Semoga ukhuwwah akan terus terjalin di atas dasar “La ila ha illalah” dan semoga hati ini akan lebih dekat kepada Allah dengan melihat kekuasaan alam ciptaanNya. Berjaulah Membina Ukhuwwah.

Ehsan: http://ismanewzealand.com/v1/?p=285

0 comments:

 

Blog Template by YummyLolly.com