1.11.2010

Bicara Muslimah

Moga akhawat berada dalam iman dan kesihatan yang baik. InshaAllah untuk edisi kali ini ana nak ajak akhawat semua berkongsi kerinduan ana. Kerinduan ana yang asyik kepada kekasih Allah, Rasulullah SAW. Sejujurnya ana katakan perasaan ini hanya mula terbentuk beberapa tahun yang lepas. Setelah melazimkan diri dengan Al Quran dan As Sunnah, melayari Sirah, berqiyammulail dan berpuasa sunat, hati kian mula melembut. Detik pertama ana menyedari kerinduan ini apabila ana mendengar kisah rasulullah dengan orang Badwi. Bagaimana ana menangis terkenangkan betapa Rasulullah itu begitu mulia akhlaknya. Ketika sahabat lain ingin memukul orang badwi tersebut kerana mengotori masjid dengan najisnya, Rasulullah tenang menasihati para sahabat supaya tidak berbuat demikian bahkan menyuruh para sahabat untuk membersihkan kotoran itu terlebih dahulu, barulah orang badwi itu dinasihati. “Telah kami ciptakan untuk kamu pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik..”(Al Ahzab:21). Hikmahnya sentuhanmu ya Rasulullah.

Orientalis barat juga mengagumi Rasulullah. Pernah tak baca buku 100 The Most Influential Person? Penulis buku ini, Michael Hart telah mengenengahkan 100 org tokoh kepimpinan. Seorang tokoh pemimpin dikatakan hebat apabila dapat membentuk satu organisasi sosial yang mana dia dapat menyatukan masyarakat di bawah satu kepercayaan (one true belief). Dan dalam kajian beliau, hanya Muhammad bin Abdullah sahaja yang memenuhi kriteria itu.


Adolf Hitler dalam bukunya, ‘Mein Kamps’ yang bermaksud ‘Perjuanganku’ mengatakan bahawa manusia yang paling bagus adalah yang dapat menggabungkan para ‘theorist’, mengendali manusia dan seterusnya memimpin. Dan ciri ini beliau hanya dapat lihatnya pada diri Rasulullah. Tokoh Jerman ini dikenali dunia apabila beliau mengalihkan kepercayaan bangsa Jerman yang mengagungkan bangsa Aryan kepada ideology ciptaannya.

Dan sebenarnya ramai lagi orientalis barat yang memuji Rasulullah. Tetapi apakah sebenarnya dasar kepada pengakuan mereka terhadap kehebatan Rasulullah? Ya, cara mereka menilai Rasulullah samalah seperti mana mereka menilai Hitler, Lenin, Stailin dan lain-lain tokoh pemimpin. Mereka cuba memupuk kefahaman yang Rasulullah adalah role model di kalangan tokoh-tokoh yang lain. Mereka meletakkan Rasulullah setara dengan tokoh-tokoh yang lain.

Tetapi ini tidak berlaku di hati mereka yang menghayati Islam sebagaimana Ia diturunkan. Rasulullah itu adalah utusan Allah, penyampai wahyu Allah. Itulah Rasulullah di hati umat Islam. Kemudian barulah kita kenali Rasulullah sebagai seorang pemimpin yang berkarisma, genius, panglima perang yang hebat dan lain-lain lagi. Orientalis barat menggunakan neraca yang berbeza dalam menilai Rasulullah, bukan berdasarkan Al Quran dan Sunnah, the most authentic sources J.

“Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, merka benar-benar dalam kesesatan yang nyata,” (Al Jumu’ah:2)

Suatu hari Rasulullah SAW datang kepada Umar dan bertanya, “Wahai Umar, adakah aku lebih kau sayangi dari hartamu?” Umar menjawab, “Ya.” “Lebih dari ibu bapamu?” “Ya,” “Lebih dari anak-anakmu?” “Ya.” Kemudian Rasulullah bertanya lagi, “Lebih dari dirimu sendiri?” “Tidak” jawab Umar. “Belum sempurna lagi imanmu,” jawab Rasulullah. Umar terkedu dan sedih, dan terus mengakui bahawa Rasulullah lebih dia sayangi dari dirinya sendiri.

Sunnah telah mengajarkan kita untuk menyayangi Rasulullah lebih dari kita menyayangi harta, semua manusia lain bahkan diri kita sendiri. Persoalannya sekarang, bagaimana untuk kita apply theory ini dalam kehidupan seharian kita? Tak kenal maka tak cinta. Malu rasanya jika sebagai umatnya kita tidak mengenali Rasulullah sedang ahli-ahli kitab terdahulu amat mengenali Rasulullah (Al A’raf:157), (Al An’am:20). Maka dalam ruangan kecil ini kita akan berkenalan dengan Rasulullah dan matlamat Rasulullah diutuskan kepada sekalian manusia.

Rasulullah diutuskan untuk menyampai dan menegakkan risalah Islam. Rasulullah diutuskan untuk membawa manusia kembali menyembah Allah yang Esa, tidak ada Ilah lain selain Allah. Rasulullah mengajarkan kita neraca pertimbangan Al Quran dan Sunnah dalam menjalani kehidupan di dunia. Jika kita sekadar bersandarkan kebiasaan atau norma kehidupan sebagai neraca, maka jadilah kita seperti kaum Nabi Luth yang menganggap homosexual itu sebagai satu norma yang ia amat jelas bertentangan dengan syarak dan fitrah manusia.

Rasulullah diutuskan sebagai Idola. Tidaklah kita menjadikan Rasulullah sebagai Idola dari segi zahirnya sahaja seperti membela janggut, memakai jubah dan serban (Yalah, muslimah tidak dapat nak ikut sunnah Rasulullah yang ini J), tapi ikutilah Sunnah Rasulullah yang terbesar iaitu perjuangan Rasulullah menegakkan Risalah.

Rasulullah diutuskan untuk mengajar kita nilai kemanusiaan. Manusia adalah Khalifah di muka bumi ini. Marilah kita menilai diri kita, inikah dia makhluk yang suatu masa dahulu malaikat sujud kepadanya? Rasulullah mengajarkan kita kedudukan manusia yang mulia maka tidak layak baginya untuk menyembah manusia lain mahupon sesuatu yang lebih rendah kemuliannya seperti nafsu.

Maka marilah kita sama-sama melihat dari kaca mata iman untuk menghayati peribadi Rasulullah SAW, menghayati perjalanan Sirah Rasulullah dan mengambil pengajaran seterusnya kita hadamkan dan terjemahkannya dalam kehidupan seharian kita. Pelajarilah dari Rasulullah cara terbaik dalam melakukan amal ibadah, berekonomi, berpolitik, bergurau dan sebagainya. Kisah terakhir dari ana buat tatapan muslimah semua, Rasulullah pernah memberitahu para sahabat bahawa yang akan masuk syurga nanti hanyalah orang-orang muda, sehingga membuatkan seorang perempuan tua menangis kerana khuatir dirinya tidak akan masuk syurga. Kemudian Rasulullah menjawab, Yalah, kerana apabila masuk syurga nanti semua orang akan kembali muda. Rasulullah bergurau rupanya J. Selawat dan Salam buat mu Ya Rasulullah.

Rujukan: Forum Maulidur Rasul anjuran FAMSY-Malaysian Division, Msian Hall Melbourne 2004

http://pembinaselangor.com/?cat=5

 

Blog Template by YummyLolly.com