7.29.2010

Kita dan Kebiasaan

Islam itu bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Dan ia akan kembali dipandang ganjil sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang dipandang ganjil (kerana Islamnya mereka) – Hadith riwayat Muslim


Pada musim panas yang lalu, penulis telah berpeluang untuk memasuki sekolah memandu untuk mendapatkan lesen memandu. Bukan belajar memandu yang ingin penulis ceritakan, namun sedikit pengalaman bertemu dengan segenap lapisan masyarakat ingin diceritakan di sini. Penulis dapat bertemu, berkenalan dan berbual dengan beberapa orang sepanjang tempoh penulis belajar memandu di sekolah tersebut. Antara yang kami bualkan berbunyi seperti berikut :

Special test

Penulis : berapa awak bayar untuk belajar memandu dari sekolah A tu?

Pemudi A : Saya bayar RM XXXX. Saya ambil pakej special, senang sikit. Tak perlu fikir perlu repeat ujian memandu atau tidak.

Penulis : Mahal juga ye sekolah awak ambil. Pakej special? Eeemm, apa tu?

Pemudi A : oo, awak tak tahu ke. Kira pakej tu saya memang gerenti lulus dan memang akan dapat lesen (special test). Ada juga pakej lain yang disediakan, seperti pakej special untuk lesen L untuk gerenti lulus ujian berkomputer.

Penulis : oo, macam tu ye. Tak sangka banyak pakej pula. (penulis bingung)

Penulis juga sempat berbual dengan seorang kakak yang sudah bergelar emak. Pebualan ini adalah hanyalah untuk menduga masyarakat hari ini tentang kefahaman mereka tentang special test. Perbualan kami berbunyi seperti berikut :

Penulis : akak ambil special test ke?

Kakak A : akak ambil je, sebab kalau tak ambil, nanti pegawai tu akan sangat strict dan susah untuk lulus. Nak2 lagi akak ni dah la nervous bila nak ujian. Nanti kerana kesalahan kecil akak perlu repeat. Akak ambil special je la. Tambah RM XXX je pun.

Penulis : oo yeke (penulis bingung lagi)

Hari-hari yang dilalui di sekolah memandu tersebut penulis ceritakan kepada sahabat penulis untuk berkongsi pendapat dan perbualan berbunyi seperti berikut :

Penulis : eh, saya dengar awak nak ambil lesen memandu kan. Bila?

Sahabat A : aah, insyaAllah akan start bulan X ni.

Penulis : awak pernah dengar tak tentang special test?

Sahabat A : mestilah pernah. Ramai kot kawan saya yang ambil special test. Kalau tak, agak susah la nak lulus. Saya pun rasa macam nak ambil special test. Malas nak fikir kalau tak lulus

Penulis : Awak nak ambil special test?? Emm, awak agak duit special test dapat dekat siapa?

Sahabat A : aah kan, dapat dekat siapa ye. Emm, tidak pernah pula terfikir, hanya fikir mahu dapatkan lesen sahaja.

Jahiliyah dan kebiasaan

Daripada beberapa perbualan ini, penulis dapat simpulkan masyarakat hari ini kalah dengan kebiasaan dunia hari ini. Mereka juga tidak dapat membezakan antara hak dan yang batil. Saidina Umar pernah berkata :

“Ikatan Islam akan terungkai apabila lahir dalam Islam orang-orang yang tidak mengenal jahiliyah”

“Special test” adalah salah satu jahiliyah dan dosa yang telah mendapat hati dalam masyarakat hari ini dan telah menjadi kebiasaan. Bila penulis fikirkan dan berbual dengan ramai orang, ramai juga daripada mereka yang tidak menyedari bahawa perbuatan itu adalah haram dan berdosa. Malah, ada di kalangan sahabat penulis yang telah bertaubat setelah mengambil lesen gerenti lulus ini beberapa tahun yang lalu dan hanya menyedari perbuatan ini adalah salah setelah mendapat kefahaman dalam Islam dengan betul.

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)

Kesan special test

Ada sebilangan mereka yang akhirnya “dapat lesen” hasil dari special test ini tetapi malangnya takut untuk memandu di jalan raya dan akhirnya lesen tersebut hanya tinggal sebagai sekeping kad sahaja. Penulis juga ada terfikir, mungkin statistik kemalangan jalan raya yang meningkat dari tahun ke tahun adalah kerana tiadanya keberkatan Allah dalam mendapatkan lesen memandu. Seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru, beliau berkata:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Tidak ada perbezaan dosa dalam kuantiti jumlah harta yang dihulurkan untuk melakukan rasuah. Dosanya tetap sama, sama ada harta yang digunakan untuk rasuah itu dalam jumlah harta yang banyak ataupun sedikit. Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah dan RasulNya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar katanya:

Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.”(Hadis riwayat ath-Thabrani)



Mengenal Islam

Ini adalah sebabak jahiliyah yang melanda masyarakat hari ini. Nampak remeh dan sudah menjadi kebiasaan di luar sana. Tetapi hakikatnya, Allah telah nyatakan betapa azabnya “perkara remeh ini”. Ia akan terus menjadi darah daging umat hari ini jika tidak diubati dan mungkin akan menjadi lebih parah. Mahukah kita melihat anak cucu kita makan dari sumber yang tidak bersih. Sesungguhnya masih tidak terlambat untuk mengubah kebiasaan ini dan Allah Maha Penganpun dan Penyayang. Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasullah telah bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengampunkan demi keranaku dari umatku perbuatan yang dilakukan secara tersilap, terlupa dan secara paksaan” Riwayat ibnu Majah

Ada banyak lagi masalah realiti masyarakat hari ini yang perlu dipulihkan dengan segera. Tiada jalan short-cut bagi memperbaiki masalah-masalah ini. Ia bermula dengan mengajak manusia kembali kepada Al-quran dan As-sunnah.

“ Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Merka tidak lain hanya mengikuti prasangka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta kepada Allah” (al-An’am: 116)

Oleh yang demikian, marilah kita kembali kepada Islam yang sebenar, bermula dengan diri sendiri dahulu. Kenal pasti jahiliyah diri dan kebiasaan hari ini yang sebenarnya adalah jahiliyah. Tinggalkan kebiasaan yang salah tersebut moga-moga dengan mujahadah kita hari ini dapat menyelamatkan anak cucu kita di masa hadapan dan lebih-lebih lagi menyelamatkan kita di akhirat sana. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita siapa lagi?


Humaira’

Wellington

7.28.2010

Warga muslimah Wellington menyingkap sejarah Islam

Wellington, 17 August- Bertempat di sebuah rumah akhawwat di Willis St, telah diadakan satu program umum, Ini Sejarah Kita(ISK) yang merupakan salah satu medium untuk menyingkap sejarah umat Islam bermula dengan sirah Nabi Muhammad (s.a.w) dan seterusnya kemajuan kerajaan-kerajaan Islam (Khalifah Islamiyah) sehinggalah kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924. Objektif dianjurkan program tahunan seperti ini ialah bagi memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar Muslim di bumi Wellington, New Zealand tentang sejarah sebuah ummat yang pernah menguasai 2/3 dunia pada suatu masa dahulu selain mengharapkan pelajar dapat mempelajari punca-punca kelemahan yang membawa kepada kejatuhan kegemilangan sesebuah umat. Selain daripada itu juga, objektif ketiga ialah memberi pemahaman kepada para pelajar tentang tanggungjawab dan cara-cara bagi mengembalikan kegemilangan umat Nabi Muhammad (s.a.w) di samping objektif terakhir membina ukhuwwah di antara komuniti Islam bagi membentuk elemen perpaduan.


Program ini telah dihadiri lebih kurang 40 orang pelajar perempuan, yang kebanyakkannya terdiri daripada pelajar-pelajar tahun 1 dan 2. Program dimulakan dengan bacaan ayat suci Al Quran , muqaddimah serta pengenalan mengenai program ISK. Pembentangan sesi pertama ISK dimulakan dari tahun kelahiran Rasulullah s.a.w sehingga ke zaman Kerajaan Umayyah yang disampaikan oleh ukht Noor Ruzaini Adam. Dalam sesi pertama, beliau banyak menyentuh mengenai peperangan penting yang membawa kepada perluasan kuasa serta penyebaran dakwah Islamiyah ke seluruh dunia. Di samping itu juga, beliau turut menceritakan mengenai kisah tokoh-tokoh Islam seperti Saidina Ali r.a di dalam peperangan Uhud dan Badar, Khalid al-Walid yang digelar “pedang Allah” serta Muawiyah r.a yang merupakan seorang yang berpandangan jauh dalam melebarkan sayap Islamiyah.

Sesi pertama berakhir pada pukul 12.30pm untuk memberi peluang solat Zuhur dan makan tengah hari. Diadakan juga aktiviti selingan seperti kuiz yang bertujuan untuk memeriksa pemahaman pelajar mengenai topik yang telah dibentangkan. Sesi kedua ISK bersambung dan disampaikan oleh ukht Aisyah Amalina Mohd Noor. Dalam sesi kedua ini, beliau menceritakan mengenai kerajaan Abassiyah yang terkenal dengan tamadun Islamiyah yang menjadi pusat rujukan ilmu suatu waktu dahulu. Kerajaan Abassiyah melahirkan ramai sarjana ilmuan dalam pelbagai bidang seperti Ibnu Sina (perubatan dan ilmu fiqh), al-Khindi (matematik, geometri dan optics), al-Farabi (fiqh dan falsafah) dan al-Khawarizmi (matematik dan astronomi). Zaman ini juga menyaksikan kewujudan university, pusat-pusat penyelidikan serta perpustakaan terulung “Baitul Hikmah” yang menyediakan bahan-bahan rujukan, kitab-kitab hasil penulisan tokoh-tokoh Islam pada zaman kerajaan Abassiyah. Ukht Aisyah juga menyentuh mengenai peperangan yang kurang mendapat perhatian generasi-generasi muda khususnya seperti Perang Salib dan Perang Ain Jalut yang merupakan punca-punca awal kejatuhan Khalifah Islamiyah. Beliau ada menyebut mengenai kehebatan Salahuddin al-Ayubi dalam perang Hittin dan peristiwa serangan besar-besaran terhadap umat Islam oleh tentera Mongol pimpinan Hulagu Khan.

Sebelum beliau mengakhiri perbentangan mengenai kejatuhan Khalifah, beliau turut mengulas mengenai pembukaan kota Constantinople yang dijayakan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1453. Kemudian, diceritakan mengenai kerajaan Turki Uthmaniyyah yang akhirnya dipimpin oleh Mustafa Kamal Attaturk yang seterusnya menjadi punca kejatuhan kerajaan Khalifah Islamiyah secara keseluruhannya.

Program ISK diakhiri dengan slot bengkel di mana bertujuan untuk membangkitkan semangat jihad dan seterusnya memastikan pelajar dapat mengambil pengajaran daripada kisah-kisah perkembangan syiar Islam serta punca kejatuhannya. Antara hasil perbincangan para pelajar ialah sketsa pendek yang memaparkan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh generasi Islam zaman kini bagi mengembalikan kegemilangan kerajaan khalifah Islamiyah. Program berakhir dengan jayanya pada pukul 5 petang. Bagi pihak penganjur, diharapkan program seperti ini dapat dilakukan dengan lebih meluas pada waktu akan datang.

Ernie Syahida Mohd Kamal
Ahli Biro Media ISMA NZ (Wellington)

7.26.2010

Aku Insan Terpilih

Alhamdulillah, Segala Puji bagi Tuhan Sekelian Alam.. Kalimah syukur tidak lekang dari bibirku. Tanda syukur yang tidak terhingga akan ‘anugerah’ ini. Benar, kalau difikirkan keadaan aku dahulu dengan sekarang, aku sedih dan segan untuk mengaku siapa diriku sebelumnya. Namun, aku jadikan pengalaman dahulu sebagai satu pengajaran yang mudah-mudahan akan membentuk diri aku yang lebih baik pada masa akan datang. Bersendirian pada pagi yang indah dilimpahi sinar matahari begini, tiba-tiba kenangan tiga tahun lepas bermain-main di benak fikiranku. Peristiwa yang membentuk siapa diriku sekarang.

“Assalamualaikum Elly..Bangun..bangun...Dah solat Asar? Lagi sejam dah nak masuk maghrib,” kata Kak Yati dengan penuh lembut dan santun sebelum berlalu ke ruang dapur. Aku yang memang belum menunaikan solat ketika itu masih bermalas-malasan di atas sofa. Mata masih lagi mengantuk kesan daripada tidur petang.

“Elly, jangan lengah-lengahkan solat ye. Itu semua kerja syaitan. Akak dah solat tadi dekat uni, kalau tak, boleh kita jemaah sekali,” pujuk Kak Yati lagi sambil berjalan menuju ke ruang tengah rumah.

“Ye ye.Baiklah,” ujar aku dengan lemah dan tidak bersemangat dan terus berlalu mengambil wuduk.

Kak Yati merupakan bekas housemate ku. Aku mempunyai masalah tidak mendapat rumah sewa ketika mula-mula menjejaki bumi indah ciptaan Allah, New Zealand tiga tahun lepas. Ketika tiba di lapangan terbang, kelihatan Kak Yati dan beberapa senior yang lain sudah lama menanti kedatanganku dan beberapa pelajar junior yang lain. Memandangkan hanya aku seorang yang tidak mempunyai tempat tinggal, Kak Yati dengan pantas dan ikhlas menghulurkan bantuan supaya aku tumpang di rumahnya sementara mendapat pengesahan dari pihak university berkaitan dengan rumah sewa. Memandangkan aku pun masih kepenatan akibat tempoh penerbangan yang panjang, maka aku redha dan pada waktu yang sama berterima kasih padanya. Sejak itulah, aku menerima sentuhan rohani secara tidak langsung dari Kak Yati. Dia mengajak aku solat berjemaah, membaca al-Quran, mathurat dan kadang-kadang dia member tazkirah pendek berupa hadis dan kata-kata nasihat. Sepuluh hari aku berkongsi bilik dengannya sudah cukup menyentuh jiwaku yang “kering” dan “lesu”. Aku juga terasa seperti dikawal dan diperhatikan padahal dia tidak mengawal pergerakanku apatah lagi mengganggu urusan kerjaku. Kadang-kadang aku rasa keliru dan bingung memandangkan bukan gaya hidup ini yang aku bayangkan jika tinggal di luar Negara.

Sepuluh hari kemudian, akhirnya aku berjaya mendapat sebuah bilik sewa di bawah pengurusan pihak universiti. Namun aku terpaksa berkongsi rumah dengan empat orang bukan Islam, mujurlah kesemua mereka perempuan. Aku tahu Kak Yati sedih dan keberatan untuk melepaskanku, tapi apakan dayaku. Pada mulanya, aku rasa seronok dan ‘excited’ sebab aku yakin ini peluang terbaik bagiku untuk merasai pengalaman baru kehidupan di luar Negara. Aku anggap ini jalannya untuk aku menjadi lebih baik ketika berada di perantauan. Semenjak aku keluar dari rumah Kak Yati, aku sudah jarang menghubunginya. Aku lebih banyak menghabiskan waktu dengan menonton dan melayari internet di dalam bilik. Kadang-kadang aku berbual-bual dengan teman serumahku, tapi mereka juga selalunya lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik atau pun keluar bersuka ria. Kawan-kawanku yang lain pula tinggal agak jauh dari rumahku membuatkan aku agak malas untuk melepak dengan mereka, lalu aku lebih banyak melakukan aktiviti secara bersendirian.

Rupa-rupanya banyak kekangan apabila serumah dengan orang bukan Islam yang tidak memahami agama kita. Mereka kadang-kadang bertanya padaku soal aurat, halal haram makanan, batas pergaulan serta cara hidup yang kebanyakkan sangat bertentangan dengan kehidupan mereka. Namun mereka seolah-olah melihat aku sebagai ditindas dan dipaksa untuk melakukan semua itu. Mungkin ilmu agamaku masih sedikit dan kurang meyakinkan mereka. Walaupun aku seorang yang jahil ilmu agama, namun aku masih berpegang pada tuntutan-tuntutan asas Islam seperti kewajipan solat 5 waktu, tidak boleh makan babi dan minum arak dan tidak boleh berzina. Aku ingat dengan melakukan semua itu, sudah cukup untuk menjadikan aku seorang Muslim yang ‘sejati’. Sehinggalah aku jadi tertekan setiap kali tiba hujung minggu, kerana salah seorang daripada teman serumahku pasti akan membawa pulang teman lelaki. Aku jadi gelisah. Hatiku berdetik ,” Alah, mereka nih kan mat saleh. Standard lah tidur-tidur bersama ni. Takyah lah fikir pasal diorang. Baik kau tengok movie malam weekend”. Tapi hati aku tetap tidak tenang. Aku terasa seperti mahu keluar dari rumah malam itu juga. Tapi ke mana aku mahu pergi? Rumah kawan-kawanku terletak agak jauh dari rumahku. Meredah kesejukan New Zealand pada waktu malam secara berseorangan pada malam minggu bukan idea yang bernas memandangkan lebih banyak musibah bakal terjadi. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi, menandakan ada SMS baru diterima.

“ Salam Elly. Awak apa khabar? Akak ada dekat area rumah awak ni. Tadi ada study group kat rumah Kak Nor. Akak nak singgah rumah awak boleh? Ada kat rumah tak?”- Kak Yati.

Subhanallah.. Allah telah berikan pertolongan padaku, seorang hambaNya yang sangat kerdil dan lemah, di saat-saat aku sangat memerlukannya. Tanpa melengahkan masa, aku terus membalas mesej Kak Yati dengan mengatakan bahawa aku ingin mengikutnya pulang dan ingin menumpang tidur semalaman. Dengan berbesar hati, Kak Yati menyambut kedatanganku pada malam itu.

Keesokkan paginya, setelah selesai membaca mathurat usai solat Subuh, aku melihat Kak Yati segera ke dapur dan menyediakan makanan. Aku berfikir untuk menyambung tidur, tapi disebabkan rasa segan dan sudah lama tidak bertemu dengan Kak Yati, aku batalkan sahaja niat itu.

“Akak nak masak untuk siapa ni? Banyak betul bahan masak yang akak sediakan ni,” Tanya aku sambil menyuapkan roti ke dalam mulut.

“Oh, sekejap nanti akak ada program usrah dekat rumah ni. Akak ingat nak sediakan sedikit makanan untuk mereka nanti,” balas Kak Yati sambil sibuk menyediakan bahan masak.

“Usrah itu apa kak?” Tanya aku.

“Usrah itu konsepnya sama seperti study group, Cuma kita memfokuskan pada isu-isu berkaitan agama Islam seperti Al-Quran, Hadis, ibadah, tauhid dan fiqah, kadang-kadang pasal isu semasa seperti isu Palestin, masalah social dan sebagainya. Nanti awak pun boleh join juga,” tutur Kak Yati dengan lembut tapi bersemangat.

Alhamdulillah buat pertama kalinya aku mengenali usrah. Dan perkara pertama yang aku pelajari daripada usrah ialah perihal ukhuwwah, iaitu ikatan hati dan jiwa yang berlandaskan akidah, di mana hubungan rapat sesama manusia diniatkan hanya kerana Allah. Bayangkan aku yang pertama kali hadir dalam usrah itu disambut dan diterima dengan baik dan mesra. Aku kagum dengan kesungguhan mereka dalam mencari ilmu Allah. Mereka sanggup datang dari rumah masing-masing, dengan ada yang berjalan kaki, berbasikal, menaiki bas, semata-mata mahu mencari ilmu dan mengeratkan lagi ikatan silaturahim di antara mereka. Mereka mengambil jurusan yang berbeza, berasal dari negeri yang berlainan serta berlainan umur, namun mereka sangat rapat dan mesra antara satu sama lain. Aku tidak lagi merasai kesunyian tinggal di perantauan, jauh dari keluarga. Semuanya sudah ku anggap seperti adik dan kakakku sendiri. Dengan tidak semena-mena, aku jadi sedih, terharu dan hiba. Perasaanku bercampur baur. Tidak pernah aku merasai pengalaman seperti ini, berada dalam golongan yang menerima aku tanpa mengambil kira siapa aku yang sebenarnya. Sesungguhnya, aku bersyukur dengan nikmat Allah yang menganugerahkanku hidayah dan petunjuk dalam mendekatkan diriku dengan-Nya.

Petang itu, aku duduk berdua dengan Kak Yati di dalam biliknya. Dia bertanya mengenai diriku yang kelihatan sedih dan menangis. Lalu, akhirnya aku berterus terang kepadanya mengenai apa yang aku rasai sepanjang berada bersamanya.

“Kak, terima kasih sangat-sangat sebab sentiasa bersabar dengan saya dan tidak pernah putus asa dalam mengajak saya jadi lagi baik. Walaupun dulu saya selalu mengelak untuk menyertai program akak,” ujarku dalam sedu yang masih bersisa.

“Elly, sesungguhnya hidayah itu milik Allah sahaja, tetapi hidayah itu disampaikan dalam pelbagai cara, mungkin kali ini disampaikan melalui ukhuwwah antara kita. Alhamdulillah..Bersyukurlah kita masih dikurniakan nikmat iman dan berdoalah agar ditetapkan hati untuk terus kekal di jalan dakwahnya. Dalam surah Al-An’am, ayat 125 ada menyebut

“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.”

Maka jika sekali mendapat hidayah, genggamlah ia jangan sampai ia terlepas, kerana bukan mudah untuk mendapatkan hidayah. Ada sesetengah orang, mengambil masa bertahun-tahun baru memperoleh petunjuk malah ada juga yang terus hanyut. Sesungguhnya beruntunglah kepada manusia yang dipilih untuk diberikan hidayah oleh Allah,” terang Kak Yati dengan tenang dan mengesankan. Sekarang, Kak Yati sudah pulang ke tanah air dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, namun kata-katnya masih kekal melekat dalam hatiku sampai sekarang dan diharapkan untuk selamanya agar aku mampu untuk menyampaikannya pada orang lain pula.

Aku melihat jam di tangan, sudah pukul 10.30 pagi. Aku bersiap-siap untuk ke rumah salah seorang juniorku, bercadang untuk menziarahinya. Lagipun dia juga mengalami masalah seperti diriku dahulu, terpaksa tinggal serumah dengan orang bukan Islam. Walaupun aku tahu setiap orang mempunyai pendirian dan personality yang berbeza, namun aku berharap dengan usaha kecilku ini mampu untuk memelihara dirinya dari terjebak dalam unsur-unsur jahiliah. Semoga hatinya juga turut ‘disentuh’ Allah. Aku menapak keluar menuju ke rumahnya dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, dan berharap setiap langkahku diredhai Allah. Selebihnya aku hanya bertawakal.

Note: Cerita di atas hanyalah rekaan penulis semata-mata, sebarang kesamaan nama watak, peristiwa, lokasi dan sebagainya hanyalah kebetulan yang tidak disengajakan. Terima kasih. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Lidya Alya

Wellington

7.20.2010

Perihal Hati


Bila disebut tentang hati dan perasaan, perkara yang terlintas difikiran kita selalunya adalah kisah cinta antara dua insan. Kisah-kisah cinta seperti Adam dan Hawa, Laila dan Majnun, Shah Jehan dan isterinya serta pelbagai lagi kisah cinta sentiasa diperkatakan masyarakat. Tidak dinafikan, cinta antara suami isteri adalah suatu perhubungan yang indah dan diredhai Allah swt, serta menjadi bukti kekuasaan Allah, seperti disebut dalam Al-Quran, Surah Ar-Rum, ayat 21.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” [Surah Ar-Rum, 30:21]

Akan tetapi kuasa hati adalah jauh lebih hebat dari itu, kerana hati membentuk siapakah diri kita, dan apa yang ada di dalam hati kita hanya diketahui oleh Allah SWT dan diri kita sendiri. Hati merupakan tempat dimana kita dapat merasakan hubungan dengan Allah SWT, dan juga makhlukNya yang lain, seperti manusia, haiwan, alam, dan sebagainya. Seperti yang disebut dalam Al-Quran, hati orang yang beriman akan sentiasa tenang dan tergambar diwajahnya kasih sayang yang melimpah ruah.

“Ia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” [Surah At-Tagabun 64: 4]
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, Allah yang Maha Pengasih akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang (dalam hati mereka).” [Surah Maryam 19: 96]

Selain daripada akal, hatilah yang menentukan baik buruk sesuatu perkara yang kita lakukan. Disinilah dimana justifikasi perbuatan dipengaruhi oleh iman. Akal, hati dan iman merupakan satu tautan yang tidak dapat dipisahkan, satu correlation yang berkadar terus dengan perbuatan dan amal kita. Jika kita bayangkan satu segitiga yang menghubungkan unsur-unsur ini, iaitu hati, iman, dan akal, yang sentiasa berkait antara satu sama lain, dan hasilnya akan membuahkan perbuatan kita. Ianya turut dikenali sebagai akhlak. Jika tinggi iman kita, maka ia akan menghasilkan amal, dan sebaliknya, jika rendah iman kita, ia akan menghasilkan kejahatan.

“Orang-orang yang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerana mengingat Tuhan. Ingatlah, bahwa dengan mengingat Tuhan itu, hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, mereka memperoleh untung baik dan tempat kembali yang utama.” [Ar-Ra’du ayat 28-29]

Ayat ini menunjukkan bahawa jika kita sentiasa mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenteram, akan tetapi sebaliknya akan berlaku jika iman kita lemah. Kita akan merasa resah gelisah dan tidak tenang. Masihkan kita ingat pepatah Melayu yang berbunyi ‘Ikut hati mati, ikut nafsu lesu’? Hati itu digambarkan sebagai satu perkara yang akan membawa kita ke arah kejahatan. Dalam keadaan masyarakat zaman sekarang, dan persekitaran yang tidak soleh, kita akan mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan kejahatan. Syaitan tidak akan putus-putus menggoda kita untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan perintah Allah SWT dan syaitan akan melakukannya melalui pelbagai jalan, jalan kejahatan mahupun jalan kebaikan. Syaitan akan bermain-main dengan nafsu kita, menimbulkan rasa was-was, ataupun membuat kita rasa riak dan ujub dengan kebaikan yang kita lakukan.

“Nampakkah keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” [Al-Furqan: 43-44]

Walaupun sedemikian, disinilah terletaknya mujahadah kita. Kita hendaklah meletakkan kebergantungan hanya pada Allah, dan sentiasa berusaha untuk membaiki hati dan meningkatkan iman. Hidayah dan petunjuk dari Allah itu hendaklah dicari dan diusahakan, berbanyaklah berdoa dan muhasabah diri, kerana kitalah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah tidak akan rugi sedikit pun jika kita tidak beriman.

“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah (petunjuk) kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu (agama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, kepada orang-orang yang menerima peringatan.” [al-An'aam: 125-126]

Dalam hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Abu Syaibah, Aisya ra., berkata,
“Nabi SAW sering berdoa dengan mengatakan, ‘Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku untuk selalu taat kepada-Mu.’ Aku pernah bertanya, ‘Ya Rasulullah, kenapa Anda sering berdoa dengan menggunakan doa seperti itu? Apakah Anda sedang marasa ketakutan?’ Beliau menjawab, ‘Tidak ada yang membuatku merasa aman, hai Aisyah. Hati seluruh hamba ini berada di antara dua jari Allah Yang Maha Memaksa. Jika mau membalikkan hati seorang hamba-Nya, Allah tinggal membalikkannya begitu saja.’”

Marilah kita sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT, marilah kita menuju ketakwaan, dengan bermu’ahadah (perjanjian dengan Allah), bermuqarabah (mengingati Allah), bermuhasabah (refleksi diri), bermu’aqabah (deraan jika bersalah), dan bermujahadah (berjuang), insyaAllah kita akan bersama-sama menuju Mardhatillah, keredhaan Allah. “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan sekalian hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu (Islam). Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menzalimi diri sendiri.”

Heart is like a drop of dew and petals of rose –anonymous-

Noor Ruzaini Adam
Wellington

7.17.2010

Sentiasalah Membaca Al-Quran

‘Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a, “Daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda, “ Sentiasalah membaca Al-Quran ini. Demi diri dan jiwa Muhammad yang ada di tanganNya. Sesungguhnya Al-Quran itu sangat mudah hilang daripada ingatan berbanding dengan unta yang tercabut tali ikatan daripada kakinya (HR Bukhari dan Muslim)

Al-Quran merupakan kitab petunjuk dan kaedah dalam meneruskan kehidupan. Allah s.w.t menjelaskan di dalamnya berhubung perkara yang diwajibkan, dihalalkan dan diharamkan kepada manusia. Semua itu berupa kaedah-kaedah secara global yang termasuk isu-isu berhubung rapat dengan kehidupan dunia. Tidak termasuk orang dewasa dan kanak-kanak yang berhubung rapat dalam keperluan manusia, kesemuanya telah tertulis di dalam Al-Quran :

Allah s.w.t berfirman :

“ Aliff Laam Raa, (inilah)suatu kitab yang ayat-ayatnya didudun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci yang diturunkan dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (11;1)

Al-Quran merupakan kitab yang sangat penting dan merupakan penyatu segala maklumat.Ada pendapat yang mengatakan bahawa menghafal Al-Quran hukumnya fardu kifayah. Apabila sebahagian muslim menghafalnya, maka terkecualilah sebahagian yang lain. Tidak dapat diragui lagi bahawa menghafal Al-Quran merupakan satu kenikmatan yang besar sesudah keimanan. Barangsiapa yang ingin mendapatkan kurnia Allah s.w.t, maka dia harus membacanya dan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya, kerana para pembaca mudah lalai apabila tidak mengulanginya. Maka, dia akan kembali sukar kepada hafalannya melainkan dengan kerja keras.

Al-Quran merupakan satu kitab yang mempunyai mukjizat yang sangat tinggi dan di dalam setiap juzuk terkandung makna dan penjelasan yang terperinci. Apabila seseorang muslim telah menghafalnya, dan kemudian dia tidak dapat mengulangi bacaan Al-Quran tersebut kerana hati dan akalnya kembali kosong. Sekiranya dia cuba mengingatinya, dia memerlukan konsentrasi yang amat tinggi. Oleh kerana itu, Rasulullah bersabda, “ Sentiasalah membaca Al-Quran”

Dalam riwayat Bukhari disebutkan, “ Ingatlah selalu Al-Quran, kerana Al-Quran mudah lenyap daripada isi hari seorang lelaki berbanding untanya”

Sabda Rasulullah, “Sesungguhnya Al-Quran itu sangat mudah hilang daripada ingatan” maksudnya mudah luput daripada ingatan dan seharusnya dijaga dengan sempurna supaya tidak lalai kerana mengingati Al-Quran besar nikmatnya.”

Kemudian, Rasulullah sendiri menyatakan bahawa kehilangan ingatan terhadap Al-Quran umpama hilangnya unta yang telah tercabut tali tambatnya. Dalam hadis ini, Rasulullah bersumpah. Sebagai menguatkan pernyataan beliau, di dalam sumpahnya beliau menyebut, “Demi diri dan jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya.” Tidak dapat dinafikan sumpahan Rasulullah ini merupakan perantara segala hal kepada Allah s.w.t, menampakkan kerendahan hati dan tawadu’ terhadap kebesaran Allah s.w.t dan sangat memerlukan pertolongan Allah s.w.t.

Hadis juga menyeru agar setiap seseorang individu yang ingin mendapatkan nikmat Allah s.w.t harus selalu menghafal Al-Quran. Barangsiapa yang hendak mendapatkan kebaikan daripada Allah s.w.t, hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai penghuni di dalam hatinya dan selalu memikirkan kandungan di dalamnya. Allah s.w.t berfirman :

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.”(39 ;22-23)

Sesungguhnya, Al-Quran merupakan penyembuh segala penyakit, seperti mengubati kegelisahan di dalam hati, menenangkan hati dan rasa gementar serta menghidupakan perasaan yang telah mati. Al-Quran merupakan nikmat penghuni syurga sebagaimana nikmat yang mereka peroleh di dunia. Barangsiapa yang selalu membaca Al-Quran dengan teliti dan merenung kandungan di dalamnya, maka dia berada di dalam syurga dunia tanpa mengetahui hakikat syurga tersebut.

Jadi, mari kita jadikan membaca Al-Quran ini satu rutin harian dalam hidup kita. Kalau sehelai muka surat agak sukar, boleh sahaja kita mulakan tabiat ini dengan sepotong ayat setiap kali selepas solat fardhu. Dalam firman Allah s.w.t :

“Dan sesungguhnya telah Kami permudahkan al-Quran sebagai pengajaran, maka adakah mereka mengambil pengajaran tersebut?” (54;17)

InsyaAllah, Allah akan mempermudakan pembelajaran Al-Quran bagi sesiapa sahaja yang ingin membacanya dan menerima dengan hati yang penuh ikhlas.

7.14.2010

Jejak Islam


"Mereka yang tidak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya"

Ramai antara kita yang tidak tahu dan lupa tentang sejarah Islam. Yang tahu pula, tidak mengambil pengajaran daripadanya. Tujuan program ini adalah untuk membawa anda menyertai kembara ilmu bersama rakan-rakan seakidah yang lain dan mengkaji rahsia kecemerlangan umat Islam suatu masa dahulu agar kita sama-sama buka mata dan minda serta berazam untuk mengembalikan zaman kegemilangan itu.

Menapak jejak, menyelusuri sejarah, bersama-sama mengembalikan sejarah Islam.
ayuh sertai Jejak Islam! :)

17 Julai 2010
10.00 am - 5.00 pm
Sabtu
Village Accomodation, Willis Street

jumpe di sana!!


7.07.2010

Sebiru Hari Ini

Selamat berhibur..



Sebiru hari ini
Edcoustic

sebiru hari ini
birunya bagai langit terang benderang
sebiru hari kita bersama disini

seindah hari ini
indahnya bak permadani taman surga
seindah hati kita walau kita kan berpisah

bukankah hati kita telah lama menyatu
dalam tali kisah persahabatan ilahi
pegang erat tangan kita terakhir kalinya
hapus air mata meski kita kan berpisah

selamat jalan teman
tetaplah berjuang
semoga kita bertemu kembali
kenang masa indah kita sebiru hari ini


 

Blog Template by YummyLolly.com