3.20.2010

Antara Ayyash dan Uqbah

Pengaruh Abu Jahal

Pernah dengar mengenai Uqbah bin Abi Mui’th seorang pemuka Quraisy yang ingin memeluk Islam? Uqbah ini sangat berkawan rapat dengan Abu Jahal. Uqbah pada mulanya pernah ingin mengikut naluri fitrahnya ke arah kebenaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Ketika itu Abu Jahal berada di luar kota dan Uqbah pergi menemui Rasulullah s.a.w. Setelah mendengar ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w, Baginda menawarkan Islam kepadanya. Uqbah menerimanya tetapi meminta tangguh sehingga besok untuk lebih memikirkannya.

Sayangnya Abu Jahal telah kembali dan Uqbah terus menyatakan hasratnya itu kepada Abu Jahal, “Besok, aku akan menemui Muhammad dan menyatakan keislamanku.” Abu Jahal berang dan menyanggah, “Demi persahabatan kita, seharusnya engkau menemuinya untuk meludahi mukanya!”Uqbah terus berlalu meninggalkan Abu Jahal.

Besoknya Uqbah tetap menemui Nabi namun diekori oleh Abu Jahal. Di waktu Uqbah ingin melafazkan syahadah dan menyatakan keislamannya, Abu Jahal muncul dan terus memujuknya, “Wahai sahabatku, agamamu atau sahabatmu”
Akhirnya ternyata demi persahabatan Uqbah telah memilih kesesatan dan mengikut Abu Jahal. Malah selepas itu Uqbah menjadi orang kafir yang terlalu membenci Nabi. Tiada orang yang lebih berani menyakiti Nabi melainkan Uqbah sendiri. Pernah ketika Nabi sedang solat, Uqbah datang dari belakang dan menjerut leher Nabi dengan selendangnya. Jerutan yang kuat itu telah membuatkan Nabi jatuh tersungkur. Tidak cukup dengan itu suatu hari ketika Nabi sedang sujud Uqbah datang dengan membawa usus perut unta dan melemparkannya ke belakang Nabi. Baginda tidak boleh bangun sehingga datang puterinya Zainab menyingkirkan kotoran tersebut.

Kuasa Allah meliputi segalanya dan akibat memilih rakan yang sesat dan menyakiti kekasih Allah s..w.t, Uqbah mati dalam keadaan cukup terhina. Uqbah mati dalam kekafiran sewaktu perang Badar. Setelah mati, tubuhnya membengkak dan membusuk. Mayatnya tidak boleh dikuburkan bersama-sama dengan sahabat-sahabat kafirnya yang lain kerana baunya yang busuk menyengat. Mayatnya hanya ditimbun dengan tanah di tempat ia mati dalam keadaan yang amat buruk.

Pengaruh Umar

Pernah tak pula kita kenal siapa rakan baik Umar al-Khattab yang diajak hijrah bersama? Umar berkawan baik dengan Ayyash bin Abu Rabi’ah. Maka Umar mengajaknya hijrah ke Madinah bersama-sama. Di suku perjalanan datang seorang utusan ibu Ayyash mengkhabarkan perihal ibu Ayyash yang hampir meninggal dunia. Ibunya tidak bermaya kerana berjanji akan terus berdiri di terik panas matahari dan tidak akan mandi sehinggalah Ayyash kembali menemuinya. Maka bergoncanglah hati sahabat ini dan beliau merasa sangat gusar. Ayyash ingin berpatah balik dan pulang menemui ibunya. Umar tidak berdiam diri, lantas memujuk Ayyash untuk meneruskan hijrah dengan bersungguh-sungguh.

Namun disambut Ayassh dengan keluhan, “Ibuku”. Umar tidak berputus asa meyakinkannya dan berkata, “Ayyash, jika hari ini ibumu mampu berpanas di bawah terik matahari, tetapi esoknya ia belum tentu mampu. Jika hari ini ibumu berkeras untuk tidak mandi, maka ianya tidak akan lama. Nanti ia akan mandi jua kerana tidak tahan dengan tubuh badannya yang kotor. Jika sekarang ia tahan berpanas, besok ia akan mencari jua tempat berteduh. Namun Ayyash hanya menjawab, “Umar, ibuku.”
Umar seraya mengingatkan, “Ayyash, jika engkau berkeras ingin kembali, engkau akan mendapat fitnah kelak.” Ayyash tetap berkata, “Ibuku,
Umar.” Umar sangat faham, dalam berkawan kita perlu berkorban. Waktu itu Umar sudah merasa rakannya tidak mampu dipujuk dan dipengaruhi walaupun hampir memaksanya. Lantas Umar turun dari kenderaannya seraya menawarkannya kepada sahabatnya itu, “Wahai Ayyash, jika kau tetap berkeras untuk kembali, ambillah kenderaan aku ini. Semoga kenderaan ini akan mengingatkanmu ketika engkau ingin kembali padaku suatu hari nanti.”

Akhirnya Ayyash berpatah balik ke Mekah dan memang benar ia disiksa dan difitnah sehingga hampir menggoyahkan keimanannya. Malah ia telah dihina oleh Abu Jahal sebaik sahaja memasuki kota Mekah, meskipun sebelum itu Abu Jahal menumpang kenderaannya. Namun kenderaan itu sering mengingatkan Ayyash pada Umar dan terus mengukuhkan keimanannya. Akhirnya satu hari Ayyash kembali berhijrah meninggalkan keluarganya dengan berkah dan keikhlasan sahabatnya, Umar.

Jadi dalam hidup ini adakah kita ingin mencari sahabat semulia Umar atau sehina Abu Jahal?

Adakah kita ingin tersangat bertuah seperti Ayyash atau tersangat rugi seperti Uqbah?

Adakah terhadap rakan, kita mampu memberi pengaruh dan beraura baik sekuat Umar atau beraura buruk sehina Abu Jahal?

Adakah kita seperti Ayyash yang cenderung kepada rakan yang baik atau seperti Uqbah yang cenderung kepada rakan yang hanya membawa kepada kehinaan?

Untungnya Ayyash kerana kemurahan kawan dan malangnya Uqbah hanya kerana kejahilan kawan. Fikir-fikirkanlah.

3.16.2010

Autumn Trip is Coming!!


Mari kita meriahkan cuti Easter kali ini dengan menyertai Autumn Roadtrip 2010!! Roadtrip North Island kali ini menyaksikan kehadiran peserta-peserta dari tiga bandar welly,auckland dan palmy bertemu di Rotorua dan Taupo. Autumn trip ini adalah untuk adik-adik tahun pertama.Dengan pemandangan indah penyejuk mata dan peluang bertemu dengan rakan-rakan baru, pastinya pengalaman menarik ini tidak akan dilepaskan! Tidak dilupakan, aktiviti-aktiviti menarik yang dirancang.

Butir-butiran adalah seperti berikut:

Tema: Berjaulah Membina Ukhuwah

Tarikh: 2-5 April 2010

Tempat Bertolak: Wellington

Tarikh tutup penyertaan: 22 Mac 2010, Isnin


Untuk sebarang pertanyaan dan mendaftar, anda boleh menghubungi:

Ruzaini Adam 021-0488229

Maklumat lanjut tentang kos bersih, kelengkapan yang perlu dibawa, butir-butir perjalanan dan penginapan, dan lain-lain maklumat akan dimaklumkan kemudian. Jangan ketinggalan dari peluang untuk bercuti melihat bumi New Zealand yang indah ini di sambil menimba pengalaman dan membina ukhuwah~

Jumpa di sana! (",)


3.15.2010

Rehlah ‘Ahlan Wasahlan’ Wellington 2010

Alhamdulillah, program sambutan junior baru di Wellington telah diadakan pada hari Ahad, 7 Mac 2010 yang lalu bertempat di kawasan lapang berhampiran Duck’s Pond, Botanical Garden. Program dimulakan agak lewat dari perancangan, iaitu lebih kurang pada pukul 1045am, dan berjalan lancar dengan penglibatan dari adik-adik yang begitu memberangsangkan. Pada mulanya terdapat sedikit kekeliruan berkenaan tempat yang akan digunakan (rancangan awal di Rose Garden), kerana terdapat pertembungan dengan program yang dianjurkan oleh Wellington City Council iaitu Children’s Day di tempat yang sama. Matahari yang bersinar telah menyerikan lagi suasana pada hujung minggu itu. Kehadiran 20 orang junior baru yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengajian telah disambut mesra oleh 7 orang senior yang telah mengaturkan pelbagai aktiviti dan sesi permainan yang menyeronokkan untuk mereka semua.


Program pada hari itu dimulakan dengan sesi perkenalan diikuti dengan beberapa aktiviti untuk mentautkan lagi ukhuwwah di antara peserta. Untuk sesi pertama, para peserta dikehendaki membuat satu barisan berdasarkan susunan nama masing-masing dalam keadaan mata tertutup. Seterusnya susunan kedua pula dibuat berdasarkan ketinggian peserta. Pelbagai telatah lucu dan menarik dapat dirakamkan ketika permainan ini berlangsung. Permainan seterusnya mengkehendaki para peserta membuat satu bulatan dan menyebut nama berserta trademark masing-masing. Pelbagai aksi menarik dan bakat yang terserlah di kalangan para adik-adik dapat dilihat. Permainan terakhir pada hari itu adalah sesi membina ‘raksasa’ yang menepati ciri-ciri pelik yang telah disebutkan oleh penganjur. Tidak sangka rupanya adik-adik ini sangat kreatif dan kelakar semuanya.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing. Setelah itu, satu sesi perkongsian telah diadakan dan pengisian ‘Merajut Cinta dalam Ukhuwwah’ telah disampaikan oleh saudari Aisyah dan mendapat maklumbalas yang sangat menggalakkan dari adik-adik. Akhir sekali, ketika sesi penutup dan menjamu selera, video perancangan aktiviti untuk tahun ini juga ditayangkan untuk memberi gambaran kepada adik-adik tentang aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh IsmaNz-Wellington. Keseronokan itu bertambah dengan kunjungan adik-adik ke rumah akhawat pada lewat petang hari itu. Semoga hati-hati ini bertaut kerana Allah SWT dan membawa kita lebih dekat pada Nya.


"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada',tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:"Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih."

2.17.2010

Asahlah Kapakmu..

Assalamualaikum, semoga rakan2 belia berada dalam keadaan terbaik melaksanakan perintah Allah & meninggalkan larangan-Nya. Umum mengetahui kebejatan sosial yang meruncing di kalangan belia dewasa ini. Ditambah dengan momokan hiburan yang melampau oleh media massa membuatkan suasana makin gamat & muda-mudi hilang arah tuju. Lantas bagaimana seharusnya belia berperanan di tengah kancah masyarakat yang menanti saat kemunculan belia harapan ?

Ingin saya kongsikan sebuah cerita bersama anda. Pada satu ketika seorang pemuda telah memohon pekerjaan di tapak penebangan balak. Hamdi namanya. Setelah dinilai, maka Hamdi berjaya mendapat pekerjaan di situ lantaran kegagahan yang dimilikinya. Pada waktu itu tiada alatan moden digunakan. Kerja-kerja dilakukan dengan menggunakan kapak & tali. Pokok-pokok yang telah ditebang dipotong lebih kecil agar mudah dialihkan. Itulah senario di tempat tersebut. Keesokan harinya, Hamdi datang dengan membawa sebilah kapak. Pada hari itu dia berjaya menebang 20 batang balak. Hanya Tuhan yang tahu betapa kekuatan yang dimilikinya.


Pada hari yang kedua, dia berjaya menebang 18 batang pokok balak. Hari yang ketiga 15 batang dapat ditebang. Semakin hari semakin sedikit jumlah pokok yang dapat ditebangnya. Hinggalah pada suatu hari dia hanya dapat menebang 2 batang balak. Sayugia, dengan rasa dukacita dia berehat di sebatang pokok. Otaknya ligat berfikir mencari punca sambil hatinya dihimpit rasa gundah. Gelagat Hamdi dilihat tauke dikejauhan. Lalu tauke menghampirinya sambil bertanyakan masalah yang dihadapi.“ Entahla tuan, semakin kuat saya bekerja tapi semakin sedikit hasil yang saya dapat. Itu yang saya runsingkan, ” kata Hamdi. Tauke tersenyum melihat keadaan Hamdi. Dia pun bertanya “ Pernahkah kamu memperuntukkan masa untuk mengasah kapakmu ?. ” Hamdi terkebil-kebil melihat taukenya. Pertanyaan itu tidak dapat dijawab. Lidahnya bagaikan terkelu seketika. Dijawab dengan nada suara kesal bercampur terkesima, “ Ttt….tak pernah tuan.”Rakan-rakan sekalian, jika diteliti cerita di atas ia memberi signifikan kepada kita.


Andaikan kehidupan kita seperti masa bekerja menebang balak. Lalu mengasah kapak adalah masa muda belia. Walaupun ianya hanya sebentar tetapi sekiranya ia digunakan dengan bijaksana, maka ia akan menghasilkan natijah yang luar biasa. Pada hari yang pertama pun sudah 20 batang balak yang berjaya ditebang, berapa pula yang bisa ditumbangkan pada hari yang kedua kalau hamdi mengambil sedikit masa mengasah kapaknya ?.Ingatlah sahabatku, masa muda begitu pantas berlalu. Bagaimana kita melalui liku-liku perjalanan di waktu itu akan memberi kesan di kemudian hari. Ambillah sedikit masa untuk anda mengasah kapak anda..Wallahu’alam…..

2.09.2010

Haera Mai Ki Aotearoa

Assalamualaikum semua,.. Tahniah kpd semua yg terpilih utk sambung belajar di NZ especially di Wellington,.. Untuk memudahkan urusan packing adik2,.. kami di welly dah sedia'n pre-departure checklist which include a few tips on packing,.. Anyway, kalo nak tanye ape2, feel free to contact us,. we will reply as soon as possible,.. insyaAllah


HIJRAHKAN DIRIMU

Hijrahkan dirimu


Masa berlalu begitu pantas, hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Hari ini sudah hampir sebulan lebih kita melangkah ke tahun 1431 H dan 2010 M. Tahun-tahun yang berlalu menandakan umur kita semakin meningkat daan usia semakin singkat. Maka, seharusnya manusia melakukan perubahan dalam hidup. Dalam erti kata lain, manusia perlu berhijrah daripada yang buruk kepada yang baik dan daripada yang baik kepada yang lebik baik.


Dari mana hendak dimulakan?


Hijrah bermula dengan diri sendiri, bukan melihat orang lain berubah baru hendak berubah. Jangan harapkan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara akan berubah sekiranya diri kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu. Perhatikan sajak di bawah, untuk memahami kepentingan memulakan hijrah dengan diri sendiri.

Ketika lepas di alam remaja,

Impianku tidak mengenal batasan,

Aku ingin mengubah dunia,

Apabila usia meningkat dewasa dan aku semakin matang,

Kusedari rupanya dunia tidak akan berubah,

Lalu aku bataskan jangkauan,

Memadailah jika aku dapat mengubah negara,

Namun ini juga tidak kesampaian,

Kala usia senja, pilihan terakhirku,

Mengubah keluarga dan mereka yang terdekat.

Malangnya....

Mereka juga tidak mampu ku ubah.

Kini, di perbaringan mananti maut baru kusedari,

Andainya dahulu yang pertama ku ubah adalh diri sendiri,

Dengan menunjukkan teladan yang baik,

Pasti aku dapat mengubah keluarga,

Lantas dengan sokongan dan dorongan semangat mereka,

Aku pasti mengubah negara.

Dan siapa tahu....

Mungkin juga aku mampu mengubah dunia!


Tahu, mahu dan mampu




Perubahan pada diri pula mestilah bermula dari dalam. Allah SWT telah menjelaskan,


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka" 13:11


Untuk mengubah sikap, kita perlu mengubah akal, hati dan nafsu. Oleh itu, seseorang harus melalui tiga proses secara tertib dan berkesinambungan. Akal mestilah diproses agar tahu. Hati diproses mahu. Dan nafsu dilatih mampu. Untuk tahu, akal diberi ilmu pengetahuan. Ilmu akan memberi jawapan kepada soalan yang tidak dapat dijawab oleh manusia seperti dia datang dari mana?, untuk apa dijadikan?, dan kemana dia akan pergi selepas kehidipan ini?.


Ilmu sahaja tidak dapat mengubah sikap manusia. Proses menanam ilmu pada akal, mesti diiringi dengan proses menyuburkan keyakinan dalam hati. Hal ini kerana, pengetahuan yang berlegar dalam akal sahaja tidak akan dapat merubah sikap. Belum ada kemahuan untuk berubah di dalam hatinya. Pengetahuan pada akal, kemahuan pada hati.


Kekuatan kemahuan lebih kuat pengaruhnya daripada kekuatan pengetahuan untuk menghasilakn perubahan. Oleh sebab itu, proses pembelajaran mesti diikuti proses pendidikan (menyuburkan ilmu). Inilah pendidikan hati. Hato diproses agar mahu berubah. Untuk mahu, hati diberi input keyakinan (iman).


Setelah tahu dan mahu, manusia mesti dilatih agar mampu merubha sikapnya. Untuk mampu, nafsu perlu dilatih dan dibiasakan dengan amalan-amalan baik secara rutin. Nafsu umpama kuda liar yang perlu dijinakkan untuk menjadi tunggangan yang baeik. Nafsu bukan untuk dihapuskan, tetapi dilatih agar mampu melaksanakan kebaikan.


Hijrahkanlah diri sendiri. Jika tidak. tidak ada seiap yang boleh memaksa diri kita berubah dengan rela. Dan kita tidak boleh lari dari hukum sunnatullah yang menyatakan bahawa setiap makhluk akn berubha sama ada dengan rela atau terpaksa.


dipetik dari: majalah solusi

1.11.2010

Bicara Muslimah

Moga akhawat berada dalam iman dan kesihatan yang baik. InshaAllah untuk edisi kali ini ana nak ajak akhawat semua berkongsi kerinduan ana. Kerinduan ana yang asyik kepada kekasih Allah, Rasulullah SAW. Sejujurnya ana katakan perasaan ini hanya mula terbentuk beberapa tahun yang lepas. Setelah melazimkan diri dengan Al Quran dan As Sunnah, melayari Sirah, berqiyammulail dan berpuasa sunat, hati kian mula melembut. Detik pertama ana menyedari kerinduan ini apabila ana mendengar kisah rasulullah dengan orang Badwi. Bagaimana ana menangis terkenangkan betapa Rasulullah itu begitu mulia akhlaknya. Ketika sahabat lain ingin memukul orang badwi tersebut kerana mengotori masjid dengan najisnya, Rasulullah tenang menasihati para sahabat supaya tidak berbuat demikian bahkan menyuruh para sahabat untuk membersihkan kotoran itu terlebih dahulu, barulah orang badwi itu dinasihati. “Telah kami ciptakan untuk kamu pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik..”(Al Ahzab:21). Hikmahnya sentuhanmu ya Rasulullah.

Orientalis barat juga mengagumi Rasulullah. Pernah tak baca buku 100 The Most Influential Person? Penulis buku ini, Michael Hart telah mengenengahkan 100 org tokoh kepimpinan. Seorang tokoh pemimpin dikatakan hebat apabila dapat membentuk satu organisasi sosial yang mana dia dapat menyatukan masyarakat di bawah satu kepercayaan (one true belief). Dan dalam kajian beliau, hanya Muhammad bin Abdullah sahaja yang memenuhi kriteria itu.


Adolf Hitler dalam bukunya, ‘Mein Kamps’ yang bermaksud ‘Perjuanganku’ mengatakan bahawa manusia yang paling bagus adalah yang dapat menggabungkan para ‘theorist’, mengendali manusia dan seterusnya memimpin. Dan ciri ini beliau hanya dapat lihatnya pada diri Rasulullah. Tokoh Jerman ini dikenali dunia apabila beliau mengalihkan kepercayaan bangsa Jerman yang mengagungkan bangsa Aryan kepada ideology ciptaannya.

Dan sebenarnya ramai lagi orientalis barat yang memuji Rasulullah. Tetapi apakah sebenarnya dasar kepada pengakuan mereka terhadap kehebatan Rasulullah? Ya, cara mereka menilai Rasulullah samalah seperti mana mereka menilai Hitler, Lenin, Stailin dan lain-lain tokoh pemimpin. Mereka cuba memupuk kefahaman yang Rasulullah adalah role model di kalangan tokoh-tokoh yang lain. Mereka meletakkan Rasulullah setara dengan tokoh-tokoh yang lain.

Tetapi ini tidak berlaku di hati mereka yang menghayati Islam sebagaimana Ia diturunkan. Rasulullah itu adalah utusan Allah, penyampai wahyu Allah. Itulah Rasulullah di hati umat Islam. Kemudian barulah kita kenali Rasulullah sebagai seorang pemimpin yang berkarisma, genius, panglima perang yang hebat dan lain-lain lagi. Orientalis barat menggunakan neraca yang berbeza dalam menilai Rasulullah, bukan berdasarkan Al Quran dan Sunnah, the most authentic sources J.

“Dialah yang mengutus seorang Rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (Sunnah), meskipun sebelumnya, merka benar-benar dalam kesesatan yang nyata,” (Al Jumu’ah:2)

Suatu hari Rasulullah SAW datang kepada Umar dan bertanya, “Wahai Umar, adakah aku lebih kau sayangi dari hartamu?” Umar menjawab, “Ya.” “Lebih dari ibu bapamu?” “Ya,” “Lebih dari anak-anakmu?” “Ya.” Kemudian Rasulullah bertanya lagi, “Lebih dari dirimu sendiri?” “Tidak” jawab Umar. “Belum sempurna lagi imanmu,” jawab Rasulullah. Umar terkedu dan sedih, dan terus mengakui bahawa Rasulullah lebih dia sayangi dari dirinya sendiri.

Sunnah telah mengajarkan kita untuk menyayangi Rasulullah lebih dari kita menyayangi harta, semua manusia lain bahkan diri kita sendiri. Persoalannya sekarang, bagaimana untuk kita apply theory ini dalam kehidupan seharian kita? Tak kenal maka tak cinta. Malu rasanya jika sebagai umatnya kita tidak mengenali Rasulullah sedang ahli-ahli kitab terdahulu amat mengenali Rasulullah (Al A’raf:157), (Al An’am:20). Maka dalam ruangan kecil ini kita akan berkenalan dengan Rasulullah dan matlamat Rasulullah diutuskan kepada sekalian manusia.

Rasulullah diutuskan untuk menyampai dan menegakkan risalah Islam. Rasulullah diutuskan untuk membawa manusia kembali menyembah Allah yang Esa, tidak ada Ilah lain selain Allah. Rasulullah mengajarkan kita neraca pertimbangan Al Quran dan Sunnah dalam menjalani kehidupan di dunia. Jika kita sekadar bersandarkan kebiasaan atau norma kehidupan sebagai neraca, maka jadilah kita seperti kaum Nabi Luth yang menganggap homosexual itu sebagai satu norma yang ia amat jelas bertentangan dengan syarak dan fitrah manusia.

Rasulullah diutuskan sebagai Idola. Tidaklah kita menjadikan Rasulullah sebagai Idola dari segi zahirnya sahaja seperti membela janggut, memakai jubah dan serban (Yalah, muslimah tidak dapat nak ikut sunnah Rasulullah yang ini J), tapi ikutilah Sunnah Rasulullah yang terbesar iaitu perjuangan Rasulullah menegakkan Risalah.

Rasulullah diutuskan untuk mengajar kita nilai kemanusiaan. Manusia adalah Khalifah di muka bumi ini. Marilah kita menilai diri kita, inikah dia makhluk yang suatu masa dahulu malaikat sujud kepadanya? Rasulullah mengajarkan kita kedudukan manusia yang mulia maka tidak layak baginya untuk menyembah manusia lain mahupon sesuatu yang lebih rendah kemuliannya seperti nafsu.

Maka marilah kita sama-sama melihat dari kaca mata iman untuk menghayati peribadi Rasulullah SAW, menghayati perjalanan Sirah Rasulullah dan mengambil pengajaran seterusnya kita hadamkan dan terjemahkannya dalam kehidupan seharian kita. Pelajarilah dari Rasulullah cara terbaik dalam melakukan amal ibadah, berekonomi, berpolitik, bergurau dan sebagainya. Kisah terakhir dari ana buat tatapan muslimah semua, Rasulullah pernah memberitahu para sahabat bahawa yang akan masuk syurga nanti hanyalah orang-orang muda, sehingga membuatkan seorang perempuan tua menangis kerana khuatir dirinya tidak akan masuk syurga. Kemudian Rasulullah menjawab, Yalah, kerana apabila masuk syurga nanti semua orang akan kembali muda. Rasulullah bergurau rupanya J. Selawat dan Salam buat mu Ya Rasulullah.

Rujukan: Forum Maulidur Rasul anjuran FAMSY-Malaysian Division, Msian Hall Melbourne 2004

http://pembinaselangor.com/?cat=5

 

Blog Template by YummyLolly.com